KPS3014 PENGURUSAN BILIK DARJAH 😍😍😍😍
peta minda Pengurusan Bilik Darjah *TEKAN GAMBAR 👆
1.0 PENGENALAN
Misi Kementerian
Pelajaran Malaysia adalah untuk membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti
bertaraf dunia agar setiap generasi mampu bersaing dengan persaingan yang
sengit dalam era globalisasi pada masa kini. Manakala, Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 pula telah meletakkan kualiti pencapaian
akademik pelajar sebagai agenda utama reformasi pendidikan. Justeru, melalui
pelaksanaan PPPM 2013-2025, sasaran dan aspirasi untuk sistem pendidikan
berkualiti di Malaysia dapat dilaksanakan dengan berkesan melalui kerjasama
semua pihak terutamanya komitmen warga pendidik di sekolah (KPM, 2013). Guru
memainkan peranan yang penting untuk merealisasikan misi KPM tersebut sebagai
pelaksana di peringkat sekolah tidak kira sama ada sekolah rendah ataupun
sekolah menengah. Oleh itu, aspek pengurusan bilik darjah merupakan salah satu
elemen utama bagi melahirkan insan yang cemerlang tidak kira dari segi
kurikulum mahupun kokurikulum.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pengurusan merupakan perihal dalam
mengurus sesuatu dan perihal mengurus syarikat, institusi, badan perniagaan dan
sebagainya. Pengurusan juga melibatkan penggubalan dan perancangan,
melaksanakan perancangan dan bekerjasama secara berkesan dengan orang lain
untuk melakukan perkara yang betul sehingga mencapai matlamat. Menurut
perspektif Islam pula, pengurusan ditakrifkan sebagai satu proses melakukan
kerja dan menyempurnakan kerja melalui fungsi-fungsi pengurusan secara fitrah
bersama orang lain dalam usaha mencapai objektif kerja secara berkesan dengan
menggunakan sumber-sumber organisasi yang cekap dalam persekitaran yang dinamik
dan sentiasa berubah-ubah bagi mencapai objektif organisasi demi mencapai
al-falah di dunia dan di akhirat.
Bilik darjah adalah sebuah bilik yang mempunyai sekumpulan pelajar yang
diajar oleh seorang guru. Pengurusan bilik darjah adalah istilah yang digunakan
oleh guru untuk menerangkan proses memastikan pelajaran di dalam kelas berjalan
dengan lancar dan berkesan walaupun pada masa yang sama berlaku gangguan daripada
tingkah laku murid. Selain itu, organisasi dan kawalan guru ke atas tingkah
laku, pergerakan serta interaksi pelajar semasa pembelajaran berlangsung.
Menurut Alberto & Troutman pula, pengurusan bilik darjah adalah kemahiran
guru mengurus masa, ruang, sumber pembelajaran, peranan dan tingkah laku
pelajar dalam menyediakan suatu iklim yang sesuai untuk pembelajaran. Menurut
Haliza dan Samuel (2014), pengurusan bilik darjah perlu dilihat sebagai satu
bidang yang lebih meluas berbanding hanya kawalan bilik darjah serta peraturan
sahaja. Malah, perkara yang perlu dilihat dan dilakukan oleh seorang guru
adalah menggalakkan penglibatan dan kerjasama antara pelajar di dalam bilik
darjah. Pengurusan bilik darjah juga merupakan satu proses untuk memastikan kelancaran
serta keberkesanan pelaksanaan proses pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPC)
berjalan dengan efektif dan berkesan.
2.0 LATAR BELAKANG
Sekolah Menengah
Syeikh Abdul Ghani ialah sebuah sekolah menengah harian yang terletak di jalan
Sungkai, Bidor. Sekolah ini merupakan gred A dengan kod sekolah AEE0039 dan
ditubuhkan pada Januari 1965 dengan nama Sekolah Menengah Rendah Bidor (Lower
Secondary School, Bidor). Pengetua sekolah yang pertama En. Lai Sam Keong dan
seramai 211 pelajar dan kelas tingkatan satu dibuka. Walaubagaimapun, pelajar
sekolah ini ditempatkan di SMKJC Choong Hua Bidor dan Sekolah Menengah
Kebangsaan Bidor.
Pada tahun 1969, pihak sekolah telah memiliki bangunan sendiri yang terdiri
daripada 3 blok bangunan 2 tingkat batu dan sebuah kantin. Pada tahun 1973
telah diadakan pesta ria yang pertama di sekolah malah dirasmikan oleh YAB
Dato’ Seri Kamaruddin b. Isa, Menteri Besar Perak bertujuan menampung
perbelajaan kelengkapan sekolah dan perpustakaan. Selain itu, majalah sekolah
Baiduri jilid pertama diterbitkan serta Lembaga Pentadbiran Sekolah mengemukan
satu permohonan untuk menukarkan nama sekolah kepada Sekolah Menengah Syeikh
Abdul Ghani. Kelulusan membenarkan pertukaran nama sekolah ini telah diterima
pada 28 November 1973 dan yang paling menarik sekali ialah nama sekolah ini
diambil bersempena nama tokoh yang sangat penting dalam sejarah tempatan di
Bidor. Syeikh Abdul Ghani adalah
penghulu Bidor yang pertama semasa pemeritahan Sultan Salehuddin, Sultan Perak
ke-9 serta nama Bidor pula berasal dari acuan biji timah yang dibuat dari kayu
bagi menyukat bijih timah serta sebagai mengenang jasanya terhadap masyarakat
tempatan, nama Beliau diabadikan untuk nama baru sekolah ini.
Seterusnya, prestasi yang baik dalam pelbagai bidang yang telah ditunjuk
oleh sekolah, Kementerian Pelajaran telah membina sebuah blok batu 2 tingkat
yang dapat menempatkan 6 buah kelas. Setelah hampir satu dekad dibina, akhirnya
sekolah ini dirasmikan pada 2 Oktober 1982 oleh YAB Dato Sri Wan Mohammad b
Haji, Wan T, SPCM, PJK, JP Menteri Besar Perak dan projek gotong royong
diadakan pada hujung tahun untuk membuat tempat letak basikal telah mendapat
perbelajaan pembinaan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
dilancarkan oleh En. Abdul Rahman Bin Haji Ahmad, Pengawai Daerah Batang
Padang.
Kecemerlangan sekolah ini diteruskan melalui pelbagai aktiviti yang
diadakan dalam mengapai pencapaian yang cemerlang dan memberi pendedahan kepada
pelajar sekolah dalam melakukan aktiviti bagi mencapai visi dan misi sekolah.
Pada Januari 1995 iaitu 30 tahun Sekolah
Menengah Kebangsaan Syeikh Abdul Ghani ditubuhkan, sekolah ini telah dinaikkan
tarafnya kepada Sekolah Menengah Gred A dan pelajar sekolah terdiri dari
pelbagai kaum Melayu, Cina serta India yang tinggal di sekitar Bidor ini. Akhir sekali, pada tahun 2018, sebanyak 28 bilik darjah dan 15 makmal
termasuk makmal sains, makmal bahasa, makmal biologi, makmal fizik, makmal
kimia dan bilik kemahiran hidup dalam sekolah ini.
3.0 OBJEKTIF
Terdapat lima objektif kajian
sepanjang melakukan projek berasaskan sekolah ini. Antara objektif kajian ini
adalah:
i.
Mendefinisikan pengurusan bilik darjah.
ii.
Mengetahui cara pengurusan bilik darjah
di sekolah.
iii.
Mengenalpasti perbezaan bilik darjah
abad ke-21 dengan bilik darjah biasa.
iv.
Mengetahui ilmu pengurusan bilik darjah.
v.
Mengetahui strategi dalam pengurusan
bilik darjah.
4.0 JENIS BILIK DARJAH
Apa yang
terkandung di dalam perkembangan sistem,
terdapat beberapa jenis bilik darjah pada masa kini mengikut perbezaan ciri dan
fungsinya. Antara jenis bilik darjah yang telah dikenalpasti ialah bilik darjah
tradisi, bilik darjah bercantum, bilik darjah KBSM/KSSM dan bilik darjah
terbuka.
4.1 BILIK DARJAH TRADISI
Bilik darjah
tradisi ini telah lama digunakan di negara kita untuk mendidik murid di bawah
kurikulum lama iaitu KLSM dan KLSR iaitu sebelum KBSR dan KBSM diperkenalkan. Bilik
darjah tradisi ini merupakan satu tempat bagi sekumpulan pelajar mengikut
pelajaran yang disampaikan oleh guru menggunakan kaedah keseluruhan kelas. Di dalam bilik darjah
jenis ini biasanya pelajar akan duduk mengikut susunan kerusi dan meja sebaris
demi sebaris. Guru lazimnya akan berdiri di hadapan bilik darjah dan
menyampaikan pengajaran menggunakan kaedah dan strategi yang tertentu. Terdapat
kerusi dan meja guru serta papan hitam yang digantungkan dihadapan kelas.
4.1.1 CIRI-CIRI BILIK DARJAH
TRADISI:
i.
Kerusi dan meja disusun mengikut baris demi baris.
ii.
Pelajar yang rendah akan duduk di hadapan dan pelajar yang
tinggi akan duduk dibelakang.
iii.
Kerusi dan meja pelajar disusun sesuai dengan kaedah
pengajaran yang lebih berpusat pada guru.
iv.
Cara pengajaran keseluruhan kelas merupakan kaedah mengajar
utama di dalam bilik darjah.
v.
Jarang praktikkan aktiviti berkumpulan.
4.2 BILIK DARJAH KBSM DAN KSSM ABAD KE-21
Bilik darjah jenis ini
mempunyai perbezaan yang begitu ketara jika dibandingkan dengan bilik darjah
tradisi. Dari sudut susunan fizikal, kerusi dan meja pelajar disusun mengikut
kaedah kumpulan. Ini kerana program ini menekankan aktiviti pembelajaran secara
berkumpulan dan interaksi antara guru dengan pelajar serta pelajar dengan
pelajar yang sangat ditekankan. Dari segi strategi pengajaran, pendekatan yang
digunakan lebih bersifat berpusat pelajar dan penglibatan mereka secara aktif
dalam proses pengajaran dan pembelajaran amatlah digalakkan.
Dari segi bentuk dan kemudahan di dalam bilik darjah telah disediakan
ruang pembelajaran untuk memudahkan pelajar menjalankan aktiviti pembelajaran. Selain
itu bahan pengajaran dan hasil pembelajaran juga diletakkan di ruang tersebut. Hal
ini menimbulkan suasana bilik darjah yang menarik dan merangsang proses
pengajaran dan pembelajaran.
4.2.1 CIRI BILIK DARJAH KBSM
DAN KSSM ABAD KE-21
i.
Kerusi dan meja pelajar disusun mengikut kumpulan.
ii.
Pelajar dibahagikan mengikut kumpulan tertentu berdasarkan
kebolehan tersendiri.
iii.
Menggalakkan penglibatan pelajar secara aktif.
iv.
Menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran berpusatkan
pelajar.
v.
Kerap melaksanakan interaksi antara guru dengan pelajar dan
pelajar dengn pelajar.
vi.
Pelajar akan sentiasa berada dalam keadaan yang aktif.
4.3 BILIK DARJAH TERBUKA
Bilik darjah terbuka wujud hasil daripada
konsep pendidikan terbuka. R.S Barth menyatakan bahawa konsep pendidikan
terbuka sebagai suatu pendekatan pengajaran dan pembelajaran ruang-ruang
pembelajaran bahan untuk mengajar di dalam kelas dan tahu strategi dalam proses
pembelajaran. Apa yang dikatakan dalam sistem pendidikan terbuka, pelajar
diberi peluang dalam merancang aktiviti pembelajaran sendiri terlebih dahulu
dan kemudian pengajaran daripada guru perlulah dikurangkan pada peringkat
minimum. Apa yang ingin dikatakan bahawasanya guru adalah sebagai penasihat
pembimbing dan memilih bahan pengajaran dan aktiviti pengajaran samada secara
berkumpulan atau dikehendaki secara individu.
‐
Pendekatan pengajaran secara berpasukan yang melibatkan
beberapa orang guru terlatih dalam bidang pengajaran akan digunakan sebagai
guru untuk membimbing pelajar di dalam bilik darjah terbuka. Ruang dan
reka bentuk bilik darjah diubahsuai untuk membolehkan murid bergerak dengan
bebas dari satu tempat ke tempat yang lain .Situasi teknik pengajaran di dalam
bilik darjah hendaklah bersesuaian agar pelajar selesa untuk bergerak ke suatu
tempat lain dalam pemilihan bahan pengajaran yang diminati dan menjalankan
aktiviti pelajaran selepas berbincang dengan guru.
4.3.1 CIRI-CIRI BILIK DARJAH
TERBUKA
i.
Pelbagai aktiviti dilaksanakan dan jadual mudah diubah.
ii.
Pelajar bebas bergerak dan memilih bahan yang diminati.
iii.
Kumpulan pelajar dibentuk berdasarkan akademik.
iv.
Mempunyai suasana saling mempercayai dan menghormati.
v.
Perhubungan antara guru dan pelajar dan juga pelajar lebih
terbuka.
Apa yang kita
ketahui guru yang berada dalam bilik darjah ada peranannya sendiri dalam
membimbing murid di dalam kelas, dengan menguruskan pembelajaran, menjadi
seorang kaunselor kepada murid yang mempunyai masalah dalam pembelajaran yang
tidak difahami, pemudah cara atau fasilitator. Apa yang kita dapat lihat, bilik
darjah bukanlah tempat untuk pelajar mendapat ilmu semata-mata sedangkan banyak
fungsinya kepada guru juga. Selain itu, pelajar akan diberi peluang untuk
membentukkan diri menjadi seorang yang disiplin. Dalam memperolehi markah yang
tinggi juga pelajar boleh capai dengan membuat perbincangan dengan pelajar lain
dan berjumpa dengan guru yang mengajar mata pelajaran tersebut untuk
bertanyakan apa yang tidak difahami dengan mata pelajaran itu.
5.0 KONSEP MENGURUS BILIK DARJAH
Konsep pengurusan bilik darjah perlu melibatkan
segala aktiviti yang dilaksanakan oleh guru dalam membentuk dan mewujudkan sebuah
iklim bilik darjah yang membantu keberkesanan dan kecekapan pengajaran. Melalui
konsep tersebut proses mengatur dan melaksana segala urusan bilik darjah bagi
memastikan pembelajaran yang diharapkan itu dapat berlaku dengan sempurna.
Antara proses yang perlu dilakukan adalah bagaimana guru bertindak dan strategi
yang digunakan untuk mengekalkan peraturan bilik darjah. Mewujudkan bilik
darjah yang kondusif dan menghadapi tingkah laku murid yang pelbagai dengan
bijak serta menggunakan kaedah yang berkesan dan dapat menarik perhatian
pelajar.
6.0 PENDEKATAN PENGURUSAN
BILIK DARJAH
Pendekatan biasanya dimaksudkan dengan arah
atau hala yang kita ambil untuk menuju sesuatu sasaran.
Guru perlu memainkan peranan untuk membimbing dan memberi motivasi
kepada pelajar untuk menarik minat pelajar belajar tentang perkara atau benda
yang baru. Pendekatan yang dipilih haruslah sesuai dengan keperluan pelajar.
Menurut Ahmad (2011), mendekatkan sesuatu dalam bidang pendidikan dinamakan
pendekatan. Setiap pendekatan hendaklah mencerminkan satu pandangan atau
pendapat tentang hakikat satu matlamat pelajaran. Ia bertujuan untuk memudahkan
pelajar menerima dan memahami isi pelajaran yang disampaikan oleh guru. Dengan
adanya pendekatan guru dapat membuat tanggapan asas yang akan dijadikan prinsip
amalan bilik darjah.
Pendekatan yang digunakan oleh seseorang guru
dalam pengurusan bilik darjah adalah sangat penting kerana ianya akan
mempengaruhi tingkah laku pelajarnya. Dalam pendekatan-pendekatan yang
digunakan, guru memainkan peranan penting dalam mengembangkan dan menjaga
disiplin pelajar di dalam kelas dan luar bilik darjah. Pendekatan-pendekatan
yang digunakan nampak mudah tetapi jika kurang mahir dalam melaksanakannya, akan
memberi impak terhadap guru, pelajar serta sekolah. Secara keseluruhannya ialah
pendekatan merupakan sesuatu yang umum dan ia seolah-olahnya menunjukkan
sesuatu haluan tetapi tidak menerangkan bagaimana caranya untuk menuju haluan
itu.
6.1 PENDEKATAN
AUTORITARIAN
Pendekatan pertama yang boleh digunakan adalah
pendekatan autoritarian. Autoritarian bermaksud tegas dan tiada tolak ansur.
Guru kelas adalah berkuasa penuh dalam pendekatan ini. Di dalam sesebuah bilik
darjah, guru kelas akan menetapkan peraturan-peraturan bilik darjah tanpa
berbincang dengan pelajar dan wajib dipatuhi oleh pelajar. Jika tidak dipatuhi,
tindakan atau dendaan akan dikenakan terhadap pelajar. Guru kelas juga berhak
meminda peraturan-peraturan tersebut tanpa persetuan daripada para pelajarnya.
Semua tingkah laku dan perbuatan di dalam kelas tersebut adalah berpandukan
peraturan-peraturan yang ditetapkan.
Prosedur menetapkan peraturan di bilik darjah sangat
penting sebagai garis panduan kepada tingkah laku pelajar di bilik darjah.
Antara contoh peraturan yang boleh diwujudkan ialah seperti peraturan mengenai
apa yang perlu dilakukan oleh pelajar ketika guru mengambil kedatangan pelajar,
cara mendapatkan keizinan untuk ke tandas, bagaimana prosedur menjawab
pertanyaan guru dan juga peraturan khusus apabila aktiviti kumpulan dijalankan.
6.2 PEDEKATAN
PERMISIF
Pendekatan yang kedua adalah pendekatan permisif iaitu
kebebasan. Pendekatan ini bertentangan dengan pendekatan autoritarian di mana
pendekatan permisif mementingkan amalan demokratik (pilihan). Mengamalkan prinsip demokrasi di dalam bilik
darjah dapat memperbaiki komunikasi. Wujudnya amalan demokrasi dalam bilik
darjah akan melahirkan suasana yang kondusif dan harmoni. Murid tidak akan rasa
berasa takut atau tertekan untuk menyuarakan pendapat mereka. Mereka bebas
menyuarakan pandangan walaupun pandangan mereka itu kurang disenangi oleh guru dan
rakan lain.
Permisif merupakan kebebasan melakukan sesuatu tanpa
halangan atau sekatan daripada individu atau pihak lain. Kebebasan diberikan
sepenuhnya kepada pelajar untuk membuat keputusan sendiri dan dapat
mengembangkan potensi diri mereka yang mereka rasa terbaik untuk diri mereka.
Guru hanyalah sebagai pembimbing yang berperanan memberi nasihat dan pandangan
kepada pelajar tersebut tetapi keputusan akhir adalah daripada pelajar itu
sendiri. Kongkongan atau halangan daripada pihak tertentu akan membantutkan
perkembangan semula jadi dan kognitif pelajar. Sebagai contoh, pelajar akan
membuat keputusan sendiri sama ada ingin mengikuti aliran sains atau aliran
sastera semasa berada di tingkatan empat. Pilihan yang dipilih bergantung
kepada kemampuan dan kehendak pelajar sendiri. Inti pati pendekatan permisif
adalah penglibatan dan gangguan guru pada tahap yang minima.
6.3 PENDEKATAN
SOSIOEMOSI
Seterusnya adalah pendekatan sosioemosi. Menurut Kamus
Dewan Edisi Ketiga, menakrifkan sosial sebagai segala yang berkaitan
dengan masyarakat, perihal masyarakat dan kemasyarakatan. Emosi boleh
dikategorikan dalam beberapa bentuk iaitu gembira, sedih, takut, marah dan
lain-lain. Tahap emosi juga pelbagai dan secara umumnya emosi dikelaskan
sebagai emosi positif seperti gembira, teruja dan girang. Manakala emosi
negatif pula adalah seperti marah, sedih, kecewa dan lain-lain. Oleh itu,
sosioemosi di kalangan pelajar dapat ditakrifkan sebagai satu proses
berinteraksi dan mengadaptasikan diri dalam masyarakat.
Pendekatan
sosioemosi adalah cara guru mewujudkan suasana bilik darjah yang positif dan
kondusif. Hal ini demikian, suasana bilik darjah akan mempengaruhi emosi
pelajar. Suasana kelas yang positif seperti pencahayaan yang baik, aliran udara
yang lancar dan kemudahan bilik darjah yang lengkap akan melahirkan emosi yang
positif untuk pelajar menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Guru juga
perlu bersifat empati dalam memahami tingkah laku pelajar dengan cara
mewujudkan komunikasi antara guru dengan pelajar dan komunikasi antara pelajar
dengan pelajar. Hal ini demikian, kerana komunikasi yang berterusan akan
memberikan impak yang positif kepada suasana bilik darjah tersebut di mana
setiap pelajar akan saling bekerjasama melakukan sesuatu tugasan. Sekiranya
guru mendapati terdapat pelajarnya yang mempunyai masalah, maka tanggungjawab
guru adalah mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh pelajar dengan kadar yang
segera agar masalah tersebut tidak mengganggu emosi pelajar seterusnya
menyebabkan suasana kelas menjadi hambar.
6.4 PENDEKATAN
MODIFIKASI TINGKAH LAKU
Seterusnya adalah pendekatan modifikasi tingkah laku.
Masalah tingkah laku sememangnya sering dihadapi oleh guru semasa proses
pengajaran dn pembelajaran berlaku. Modifikasi secara umum didefinisikan
sebagai usaha untuk mengubah atau menyesuaikan. Namun secara khusus modifikasi
adalah suatu upaya yang dilakukan untuk menciptakan dan menampilkan sesuatu hal
yang baru, unik, dan menarik. Tingkah laku merujuk kepada semua perkara yang dilakukan
oleh seseorang – tindakbalas kepada stimulus (peristiwa dalaman atau luaran). Modifikasi tingkah laku adalah langkah-langkah yang
sistematik berdasarkan prinsip-prinsip psikologi untuk mengubah tingkah laku
yang negatif kepada positif. Modifikasi tingkah laku ini merupakan cara
menguruskan bilik darjah. Ia sesuai untuk mengatasi masalah sama ada negatif
atau positif.
Pendekatan modifikasi tingkah laku boleh dilakukan
dengan cara memberikan peneguhan positif kata-kata pujian atau dengan cara
negatif iaitu hukuman. Kata-kata pujian dan ganjaran untuk menggalakkan tingkah
laku yang diingini serta mengurangkan tingkah laku yang tidak diingini. Menurut
model modifikasi tingkah laku B.F Skinner, prinsip peneguhan terbahagi kepada
dua iaitu peneguhan positif dan juga peneguhan negatif. Peneguhan positif ialah
ransangan berbentuk hadiah atau pujian bertujuan untuk meningkatkan tingkah
laku yang diingini manakala peneguhan negatif pula ialah sebarang denda
bertujuan untuk mengeluarkan rangsangan yang tidak diingini.
Menurut Skinner lagi, untuk mendapatkan tingkah laku
yang diingin, maka peneguhan dan ganjaran perlu diberikan kepada pelajar.
Walaubagaimanapun, peneguhan mempunyai beberapa kelemahan iaitu motif pelajar
akan bertukar kepada mendapat ganjaran daripada unsur memperoleh pembelajaran.
Selain itu, kurang berkesan untuk pelajar dewasa atau pelajar yang mempunyai
masalah tingkah laku yang serius serta kurang berkesan untuk mengurangkan
masalah tingkah laku. Guru memainkan peranan untuk memodelkan tingkah laku yang
diingini.
6.5 PENDEKATAN
KUMPULAN
Pendekatan keenam adalah pendekatan kumpulan. Ahmed
et. al (2004) mendefinisikan kumpulan sebagai dua atau lebih individu yang
berinteraksi dan tidak bergantung antara satu sama lain ke arah pencapaian
matlamat tertentu. Kumpulan kerja merupakan kumpulan yang secara amnya berkongsi
maklumat dan membuat keputusan bagi membantu setiap ahli menjalankan tugas
dengan baik dalam bidang yang ia dipertanggungjawabkan. Kumpulan kerja tidak
perlu tahu atau berpeluang untuk terlibat di dalam koleksi kerja yang
melibatkan penggabungan dan penyatuan usaha. Prestasi dinilai atas sumbangan
individu dalam kumpulan. Dengan kata lain, prestasi kumpulan adalah hasil
campur sumbangan setiap ahli dalam kumpulan.
Pendekatan kumpulan bermaksud pelajar bekerja
dalam kumpulan. Walaupun berkumpulan setiap pelajar mengekalkan
individualitinya dan membantu untuk menyumbang idea kepada kumpulan. Setiap
pelajar dalam kumpulan bertanggungjawab berkongsi idea dan memberi sumbangan
yang baik, bukan mengikut sahaja. Guru memainkan peranan penting lebih-lebih lagi
bagi murid pendidikan khas. Guru haruslah memastikan murid boleh mengalami
pembelajaran bertujuan dan matlamat serta objektif kumpulan secara beransur dan
penilaian diadakan berterusan. Guru mestilah berulang-ulang kali menyatakan
objektif kerja secara kumpulan, kelas dan individu. Ini supaya murid memahami
peranan dan akan meningkatkan kerjasama untuk kejayaan kerja
kumpulan. Pendekatan kumpulan sebagai satu kaedah pengajaran membantu
murid menjadi bebas serta yakin dan pada masa yang sama belajar bahawa
seseorang itu bergantung antara satu sama lain. Ia sesuai sebagai satu cara
untuk mempertingkatkan penyesuaian sosial.
Kumpulan pelajar di dalam bilik darjah dianggap
sebagai satu sistem sosial yang perlu diwujudkan dan akan memberikan impak yang
positif kepada pengajaran dan pembelajaran. Guru harus memainkan peranan untuk
mewujudkan dan mengekalkan sistem sosial yang efektif dan produktif. Apabila
pelajar melakukan kerja secara berkumpulan di dalam bilik darjah, maka mudah
bagi guru untuk mengawal situasi pembelajaran pada waktu tersebut. Hal ini
demikian, kerana pelajar-pelajar kurang melakukan salah laku kerana guru
sentiasa peka dengan suasana dan aktiviti di dalam bilik darjah.
6.6 PENDEKATAN
PENGAJARAN
Pendekatan keenam adalah pendekatan pengajaran.
Pengajaran merupakan aktiviti yang berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan
yang meliputi aktiviti perancangan, pengelolaan, penyampaian, bimbingan dan
penilaian. Pengajaran boleh dihuraikan sebagai satu cara untuk menyediakan
pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk berfungsi dengan
baik. Faktor terpenting dalam pengajaran ialah guru perlu menilai
keperluan–keperluan pembelajaran yang spesifik dan mengaplikasi
strategi-strategi serta aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk pelajar. Secara
ringkas, pengajaran merupakan proses untuk menyampai dan menyumbang idea-idea
serta memudahcara pembinaan ilmu, menentukan standard dan menggalakkan
kreativiti, membantu seseorang pelajar untuk belajar dan mencabar pelajar ke
arah pencapaian potensi optimum.
Pendekatan pengajaran yang boleh digunakan adalah
pendekatan masteri, konstektual, konstruktif, koperatif, kolaboratif,
penggabungjalinan pelbagai ilmu disiplin dan pembelajaran berasaskan masalah.
Terdapat banyak kaedah pengajaran dan pembelajaran yang boleh digunakan di
dalam bilik darjah antaranya kaedah berpusatkan pelajar, kaedah perbincangan,
main peranan penyelesaian masalah, pembelajaran atas talian, inkuiri dan
sebagainya.
7.0 KEMAHIRAN
MENGURUS BILIK DARJAH
Pengurusan bilik darjah
merupakan sebahagian dari proses pengajaran dan pembelajaran bertujuan untuk
membina serta memupuk tingkah laku pelajar dalam bilik darjah agar proses
pengajaran dapat dilaksanakan dengan lancar, manakala aktiviti penyampaian ilmu
bertujuan supaya pelajar dapat mencapai objektif spesifik sesuatu pembelajaran
(Haliza & Joy Nesamalar, 2014). Suasana pembelajaran yang berkesan tidak
mungkin terbina dengan hanya memberi tumpuan pada proses penyampaian isi
pengajaran guru sahaja. Ia turut melibatkan aspek pengurusan bilik darjah serta
tingkah laku pelajar. Kecekapan pengurusan bilik darjah seseorang guru berkait
rapat dengan keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (Abdullah Sani,
2006).
Sebagai seorang guru
ilmu atau kemahiran dalam mengurus bilik darjah amat penting dalam sesi
pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlangsung. Perkara utama yang perlu
diberi perhatian oleh guru ialah bagaimana untuk mengurus bilik darjah apabila
melangkah masuk ke bilik darjah untuk mengajar. Para pelajar secara langsung
akan terus menilai guru yang akan mengajar mereka. Bagi pelajar guru merupakan
individu yang menjadi contoh dan rujukan. Sebagai seorang guru, perlulah
sentiasa bersedia dan merancang apakah yang akan dilakukan setiap kali melangkah
masuk ke dalam bilik darjah. Kemahiran atau ilmu dalam pengurusan blik darjah
merupakan sesuatu yang akan membantu guru sepanjang pengajaran dan pembelajaran
dikendalikan.
Merancang
sesuatu sebelum kelas bermula merupakan kemahiran pertama yang perlu dikuasai
oleh seorang guru. Semasa merancang guru akan merujuk sukatan pelajaran untuk
menentukan objektif dan hasil pembelajaran. Selepas itu, guru perlu memilih
topik, menentukan pendekatan yang paling sesuai, memilih strategi dan kaedah
mengajar dengan mengambil kira gaya pembelajaran yang berbeza. Kemudian, guru
perlu membentuk aktiviti atau tugasan yang sesuai dengan tahap pencapaian
muridnya, menyusun pengalaman pembelajaran, menetapkan tempoh bagi setiap
akitiviti atau tugasan, membentuk penilaian, menyediakan sumber PdPc serta
aktiviti pemulihan dan pengayaan. Pada masa ini, guru juga haruslah mengambil
kira tempat pembelajaran, sama ada di bilik darjah, makmal, pusat sumber atau
di luar kawasan sekolah.
Kedua, kemahiran
mengelola. Dalam kemahiran ini seorang guru perlu memberikan arahan yang jelas,
memaklumkan peraturan dan prosuder, menyelaras dan mengatur aktiviti serta
bahan pembelajaran, mengagihkan tugasan, membahagikan murid kepada kumpulan,
menentukan kedudukan dan susunan murid atau kumpulan. Guru juga perlu mengambil
perhatian dalam menentukan kedudukan dan susunan murid atau kumpulan. Hal ini
dilakukan supaya murid memahami hala tuju dan peranan mereka di dalam bilik
darjah. Kelolaan yang baik juga dapat memastikan kelancaran proses pembelajaran.
Kemahiran mengawal juga
termasuk dalam ilmu pengurusan bilik darjah. Dalam pengawalan bilik darjah guru
perlu memantau, memastikan muridnya selesa, cukup bahan pembelajaran dan sedang
melibatkan diri dalam pembelajaran. Sekiranya ada murid yang tidak memberikan
perhatian atau menimbulkan masalah, guru boleh memanggil nama murid, menegur,
menasihati, atau menghantarnya ke unit disiplin sekiranya perlu. Guru juga
perlu memastikan murid yang memerlukan bimbingan mendapat perhatian dan
diberikan aktiviti pemulihan dan murid yang dapat menguasai konsep pembelajaran
diberi aktiviti pengayaan.
Selepas guru dapat
mengawal bilik darjah, kemahiran membuat refleksi juga harus dilakukan kerana
penting dalam penambahbaikan kawalan bilik darjah secara menyeluruh. Oleh itu, guru
perlulah menganalisis dan menilai keberkesanan amalannya. Melalui aktiviti atau
pendekatan, strategi dan kaedah yang digunakan, aktiviti atau tugasan, bahan
bantu mengajar serta bentuk penilaian yang digunakan semasa pengajaran
dilaksanakan. Guru juga mesti bertanggungjawab dan bersifat terbuka untuk
menerima kemungkinan berlakunya kesilapan dan membuat perubahan, bersedia
mencuba alternatif yang lain, mendengar serta mempertimbangkan maklumat
daripada sumber-sumber lain. Hal ini kerana, budaya sedikit sebanyak akan dapat
membantu guru dalam meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran yang efektif
selaras dengan pembelajaran masa kini.
Menjalin hubungan
guru-murid merupakan kemahiran yang amat penting dan perlu difokuskan oleh
setiap guru dalam ilmu pengurusan bilik darjah. Sebagai seorang guru, kita
merupakan individu yang berperanan dalam menjadi penggerak dan pemimpin di
dalam bilik darjah. Oleh itu, guru perlu menunjukkan tahap dominan yang sesuai.
Misalnya, menetapkan dengan jelas apa-apa yang diharapkan daripada muridnya,
peraturan dan prosuder serta akibat daripada tingkah laku yang tidak diingini.
Pada masa yang sama, guru juga perlu menunjukkan kerjasama, iaitu mengalakkan
murid berfungsi sebagai satu pasukan.
Hal ini dapat akan
dilihat apabila guru mengamalkan demokrasi dan memberikan peluang kepada murid
untuk membuat keputusan tentang sesuatu perkara, misalnya pemilihan ketua
kelas. Guru juga perlu menunjukkan semangat berpasukan dengan mengambil berat
tentang kebajikan murid-muridnya. Kesedaran guru tentang kanak-kanak
berkeperluan khas, misalnya murid yang hiperaktif membantu guru mengambil
tindakan yang sewajarnya, yakni mewujudkan suasana yang aman di dalam bilik
darjah. Keseimbangan antara fokus terhadap guru sebagai penggerak, pemimpin dan
rakan sepasukan membantu menjalinkan hubungan antara guru dengan murid.
Hubungan ini merupakan aspek yang sangat penting dalam pengurusan bilik darjah.
Hal ini kerana, murid lebih cenderung memberikan perhatian sekiranya mereka
mersakan perasaan selamat, hormat, yakin dan kasih sayang kepada guru.
Oleh itu, setiap guru
perlu sentiasa meningkatkan dan melakukan penambahbaikan dalam kemahiran
mengurus bilik darjah bagi memperoleh kesan yang maksimum. Jelaslah bahawa
pengurusan bilik darjah merupakan tugas penting yang memerlukan pengetahuan,
kemahiran, kesabaran dan komitmen yang optimum dalam melahirakan para pelajar
yang seimbang dari segi emosi, rohani dan inteleknya.
8.0 FAKTOR
PENGURUSAN BILIK DARJAH
Bilik darjah ialah
merupakan tempat berlaku proses pengajaran dan pembelajaran berlaku dan tempat
yang paling penting dalam sekolah. Hal ini dimana bilik darjah memperlihatkan
aktiviti dalam sesebuah bilik darjah misalnya aktiviti akademik dan aktiviti sosial.
Sebagai guru, haruslah mengambil tahu cara pengurusan bilik darjah dinamik ke
arah pembinaan modal insan yang seiring dengan falsafah pendidikan negara iaitu
pembinaan jasmani, emosi, rohani dan intelek. Tambahan pula, persekitaran bilik
darjah yang kondusif ialah tempat yang dapat melibatkan diri, mengambil
bahagian dan menumpukan perhatian dalam pembelajaran.
8.1 FAKTOR
FIZIKAL
Susunan dan reka bentuk fizikal dalam bilik darjah
menampakkan autoriti, gaya pengajaran seseorang guru dan membolehkan interaksi
di dalam kelas serta bilik darjah yang teratur, kemas dan bersih dapat
memberikan gambaran keselesaan kepada pelajar malah memotivasikan pelajar untuk
merangsang minat serta semangat di dalam kelas. Suasana bilik darjah mesti
memberikan peluang guru memantau dengan mudah dan cepat. Selain itu,
pemandangan pelajar mestilah jelas dan tidak terhalang. Hal ini kerana apabila
guru mengajar, pelajar mesti dapat melihat guru dengan mudah tanpa mengalih
kerusi atau berdiri. Tambahan pula, ruang trafik yang selesa dimana susun atur
dalam kelas mesti memberikan peluang kepada guru dan pelajar bergerak di dalam
kelas dengan mudah.
Seterusnya, sumber bahan pembelajaran harus ada malah
pelajar mesti mempunyai akses yang mudah kepada sumber bahan pembelajaran. Hal
ini akan memudahkan pelajar mengambil bahan pembelajaran dan
menggunakannya. Dalam pada itu,
memberikan peluang kepada guru untuk mengajar pelajar cara bertanggungjawab ke
atas bahan pembelajaran di dalam kelas. Selain itu, ruang pada dinding di
sebelah kiri serta di sebelah kanan boleh dijadikan papan kenyataan yang boleh
mengisi maklumat murid, jadual kelas atau jadual bertugas. Sudut belakang papan
kenyataan boleh digunakan untuk menampal hasil pelajar dan nota ringkas
pelbagai subjek. Guru dan pelajar harus berkerjasama dalam menjaga keceriaan
kelas serta boleh menyediakan sudut khas seperti mini perpustakaan di sudut
belakang kelas.
Walaubagaimapun, pengcahayaan, pengudaraan dan perabot
dalam kelas amatlah penting. Hal ini kerana, amat mempengaruhi proses
pembelajaran dalam kelas dan guru haruslah memastikan alat elektrik (lampu dan
kipas) berfungsi dengan baik. Selain itu, guru juga harus memastikan perabot
dalam kelas mencukupi dan berada dalam keadaan yang baik serta selamat
digunakan. Hal ini kerana, faktor keselamatan dalam kelas amat penting, untuk
mengelakkan perkara yang tidak dingini.
Seterusnya, kebersihan bilik darjah merupakan
tanggungjawab bersama guru dan murid. Hal ini kerana, sebagai guru harus
memastikan kelas mempunyai alat untuk membersih seperti penyapu, bulu ayam,
tong sampah dan penyodok serta pemadam papan putih kerana tanggungjawab pelajar
pula ialah mematuhi jadual bertugas serta berkerjasama dalam menjaga kebesihan
bilik darjah. Akhir sekali, bilik darjah yang memiliki suasana persekitaran
yang baik mempangaruhi corak pengajaran dan pembelajaran antara guru dan
pelajar. Guru harus mempunyai wawasan yang jelas serta peka terhadap pengurusan
bilik darjah dari segala aspek agar matlamat dan objektif pendidikan dapat
dicapai.
8.2 FAKTOR
PSIKOSOSIAL
Faktor psikososial merujuk kepada hubungan antara
keperluan emosi individu dengan persekitaran sosialnya. Persekitaran
psikososial yang sihat di dalam bilik darjah mempunyai ciri-ciri seperti suasana
selesa dan mesra, bebas daripada ancaman dan bahaya fizikal, suasana yang
merangsang pembelajaran, menggalakkan pembelajaran koperatif dan memberi
peluang yang sama untuk semua murid. Faktor yang memberi kesan kepada
persekitaran psikososial yang sihat adalah melalui pendekatan pengajaran, gaya
kepimpinan guru, bentuk komunikasi dan corak interaksi yang guru wujudkan di
dalam bilik darjah. Jika persekitaran psikososial ini tidak dititikberatkan
oleh guru, masalah disiplin akan berlaku dalam kalangan murid.
Mengikut Model Disiplin Asertif Canter, pendekatan
yang terbaik untuk menguruskan bilik darjah adalah dengan menggunakan
pendekatan asertif. Guru perlu menjadi seorang guru yang asertif dalam
menguruskan keperluan psikososial setiap pelajar. Guru asertif mempunyai
matlamat yang jelas dengan pengurusan, yakin dan tegas dalam menetapkan
peraturan dan pada masa yang sama akan bersikap adil kepada semua pelajar.
Selain itu, pendekatan pengajaran yang dilakukan oleh guru seharusnya mengambil
kira keperluan pelajar seperti keperluan dari segi keperluan untuk memahami
matlamat serta objektif pengajaran yang guru sampaikan serta keperluan untuk
melibatkan diri secara aktif dalam proses PdPC malah mengetahui hubungan di
antara pengajaran yang dipelajari dengan kehidupan seharian. Perkembangan kognitif pula seperti keupayaan
seseorang pelajar itu berfikir dan menerima ilmu serta gaya pembelajaran
pelajar yang berbeza bagi setiap individu.
Gaya kepimpinan seseorang guru juga merupakan faktor
dalam pengurusan bilik darjah. Terdapat tiga gaya kepimpinan guru iaitu
autokratik, demokratik dan laissez-faire. Setiap gaya kepimpinan ini
memberi kesan kepada suasana sosioemosi para pelajar di dalam bilik darjah.
Guru yang autokratik adalah guru yang sering memberikan arahan kepada pelajar
untuk membuat sesuatu perkara, membuat keputusan sendiri iaitu tidak bertanya
mengenai pendapat daripada pelajar serta menentukan hala tuju kelas dengan
menggunakan pendapat diri sendiri. Bagi gaya kepimpinan demokratik pula,
mengamalkan cara mengurus, mentadbir, memerintah secara demokratik, dimana
setiap sesuatu perkara diputuskan melalui suara majoriti. Contohnya, guru
membuat keputusan untuk membuat lawatan dengan mendapatkan pandangan daripada
suara majoriti pelajar di dalam kelas. Bagi kepimpinan gaya laissez-faire
pula, guru memberikan pilihan kepada pelajar untuk membuat keputusan sendiri
dan bebas untuk mengemukakan segala pandangan dan pendapat. Kepimpinan jenis
ini juga memberi hak kepada pelajar untuk bersuara.
Seterusnya, kemahiran berkomunikasi merupakan teras
kepada pembentukan budaya yang positif dalam bilik darjah. Komunikasi merupakan
aspek penting dalam pengurusan bilik darjah. Oleh kerana pengurusan bilik
darjah melibatkan manusia iaitu guru dan pelajar, perhubungan antara mereka
perlu sentiasa dalam keadaan yang baik dan mesra. Proses sosialisasi di bilik
darjah tidak akan berlaku sekiranya tidak wujud komunikasi. Kemahiran
komunikasi yang berkesan oleh guru di dalam bilik darjah akan memberikan ruang
dan peluang kepada guru untuk berinteraksi serta bermesra dengan pelajar.
Pelajar akan rasa diri mereka lebih dihargai oleh guru serta melalui hal
tersebut, guru dapat menyampaikan objektif pengajaran dengan lebih berkesan dan
efektif. Komunikasi dua hala di antara guru dengan pelajar atau pelajar dengan
pelajar akan menggalakkan lagi interaksi di dalam bilik darjah. Umum mengetahui
bahawa sekolah pada masa sekarang menggunakan pembelajaran abad ke-21, jadi
para pelajar lebih mudah untuk berkomunikasi serta bertukar idea bersama
rakan-rakan melalui kedudukan meja yang disusun secara berkumpulan. Oleh itu,
kemahiran komunikasi di antara guru serta pelajar sangat penting bagi membentuk
pengajaran yang berkesan.
8.3 FAKTOR
EMOSI
Dalam konteks pembelajaran, faktor emosi merupakan
perasaan pelajar terhadap guru di dalam bilik darjah semasa proses PdPC. Dalam
faktor emosi, guru yang bersifat demokratik akan mempengaruhi emosi pelajar
dari segi cara menerima pendapat pelajar, menggalakkan penyoalan daripada
mereka dan memuji mereka dengan cara yang baik. Hal ini akan dapat membina
suasana emosi yang menyenangkan dan selesa untuk pembelajaran. Apabila guru
menggunakan kaedah demokratik ianya dapat mewujudkan keadaan di mana pelajar
akan belajar dalam suasana yang tenang dan selesa untuk pembelajaran. Manakala
suasana bilik darjah tidak akan tenang jika guru menggunakan kaedah autokratik
iaitu selalu memarahi, memberi amaran, arahan dan selalu mengkritik pelajar.
8.4 FAKTOR TEKNIKAL
Faktor teknikal merupakan teknik yang digunakan oleh
guru semasa di dalam kelas. Teknik ini merangkumi aspek kemahiran guru serta
penggunaan bahan bantu mengajar di dalam bilik darjah. Bahan bantu mengajar
yang dipilih oleh guru sekurang-kurangnya mestilah merupakan bahan yang terbaru
yang menarik dan diminati pelajar, dapat membantu mempercepatkan PdPC dan
releven dengan isi pengajaran yang ingin disampaikan. Pelajar akan lebih
tertarik dan seronok untuk belajar jika guru menunjukkan bahan bantu mengajar
yang menarik seperti simulasi berkomputer, gambar animasi, model yang menarik,
bahan atau gambar yang diakses daripada internet. Dalam zaman teknologi
sekarang, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) banyak membantu
kerana guru boleh menyediakan atau mendapatkan berbagai bahan terbaru untuk
proses PdPC dan mengubahnya untuk disesuaikan dengan nilai dan minda pelajar.
Selain itu, faktor teknikal juga adalah kejelasan
suara serta gaya pengajaran yang menarik serta teknik-teknik yang digunakan
untuk merangsang semangat dan kesediaan belajar. Faktor ini merangkumi aspek
kemahiran guru, kecekapan penggunaan alat bantu mengajar mengikut peruntukan
masa serta aktiviti-aktiviti yang boleh merangsang aktiviti pembelajaran
seperti pertandingan perbahasan, teka-teki, lakonan, kuiz, nyanyian dan
sebagainya. Bukan itu sahaja, kejelasan serta nada suara yang digunakan oleh
guru juga merangkumi faktor teknikal di dalam bilik darjah.
Contohnya, jika seseorang guru mempunyai suara yang
sangat perlahan serta tidak menggunakan bahan bantu mengajar semasa proses
pengajaran, pelajar akan mudah merasa bosan dan tidak bersemangat untuk
meneruskan proses PdPC. Kejelasan suara suara oleh guru merupakan aspek yang
sangat penting semasa di dalam bilik darjah. Oleh itu, kehebatan pengajaran
guru bergantung kepada kejelasan suara, gaya pengajaran yang menarik,
fleksibiliti iaitu tidak membosankan, inovasi, kreatif, pendekatan yang
sentiasa digunakan untuk membaiki kelemahan murid, penglibatan murid dalam
aktiviti kelas, dan pengurusan masa yang berkesan.
8.5 FAKTOR
KEMANUSIAAN
Faktor kemanusiaan merangkumi sifat kasih sayang,
keadilan, demokrasi, bertimbang rasa dan sifat kecindan daripada guru. Di dalam
bilik darjah, seorang guru perlu mempunyai sifat-sifat tersebut supaya pelajar
akan berasa selesa dan rasa dihargai oleh guru. Melalui aspek kasih sayang,
guru serta pelajar perlu mempunyai sifat menyayangi di antara satu sama lain.
Contohnya, guru tidak menunjukkan sifat marah serta memarahi pelajar yang tidak
bersalah. Bagi keadilan pula, guru perlu bersikap adil kepada semua pelajar di
dalam bilik darjah dengan tidak terlalu memilih kasih terhadap pelajar. Guru
yang cemerlang merupakan guru yang dapat memupuk sikap adil di dalam diri dan
melayan setiap pelajar sama rata tidak kira berbeza dari segi bangsa dan agama.
Demokrasi pula seperti guru tidak memberi arahan serta
membuat keputusan sendiri semasa di dalam bilik darjah. Contohnya, semasa
proses untuk melantik ketua kelas, guru meminta para pelajar untuk memberi
cadangan serta para pelajar juga yang memilih ketua kelas mereka sendiri.
Melalui sikap demokrasi ini, pelajar akan lebih selesa dan berani untuk memberi
pandangan mereka sendiri terhadap sesuatu proses pengajaran yang dijalankan.
Seterusnya, bertimbang rasa adalah sikap seorang guru yang peka terhadap keadaan
pelajar di dalam bilik darjah. Contohnya, jika terdapat pelajar yang sakit di
dalam bilik darjah, guru seharusnya bertanya tentang keadaan pelajar dan
menyuruh pelajar untuk rehat di bilik sakit yang disediakan di sekolah atau
membawa pelajar ke klinik. Seorang guru yang bertimbang rasa juga tidak
menghukum pelajar sesuka hati tanpa usul periksa.
Terakhir sekali, sifat kecindan harus ada di dalam
diri setiap guru untuk membina suasana bilik darjah yang ceria dan lebih
menyeronokkan. Bagi mewujudkan hubungan baik antara guru dengan pelajar,
seharusnya seseorang guru itu berkebolehan melakukan jenaka atau kecindan. Guru
yang gemar bergurau dengan pelajar akan menyebabkan pelajar tidak mudah untuk
berasa bosan malah lebih tertarik untuk belajar. Guru juga tidak menggunakan
sindiran terhadap pelajar malah bergurau dengan pelajar dengan cara yang betul
dan sesuai dengan situasi. Dengan cara guru mendekati pelajar, guru dapat
menggalakkan pelajar bertanya dan berkongsi lawak jenaka dan membolehkan pelajar
merasai guru sebagai seorang kawan. Hubungan baik yang terjalin di antara guru
dan pelajar juga dapat membantu mengawal masalah disiplin dan salah laku dalam
kalangan pelajar.
9.0 CABARAN PENGURUSAN BILIK DARJAH DALAM
PEMBELAJARAN ABAD KE-21
Pembelajaran abad ke-21
diwujudkan untuk mengikut kesesuaian peredaran generasi pada abad ini demi
mencapai keperluan individu dan keperluan negara. Pada abad yang ke-21 ini,
negara menghadapi isu dan cabaran daripada kesan perkembangan Teknologi
Maklumat dan Komunikasi. Kemajuan dalam peredaran zaman ini menyebabkan para
pendidik perlu menggunakan kaedah pengajaran yang lebih inovatif dan berkesan
untuk merialisasikan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi
pegangan pelaksanaan sistem pendidikan di negara. Bilik darjah menjadi tempat
utama bagi murid dan guru dalam pembelajaran dan pengajaran kerana murid banyak
menghabiskan masa sekolah di dalam bilik darjah untuk menimba ilmu. Menurut
Mohd Hasani Dali (2009) pengurusan bilik darjah merupakan kemahiran yang agak
sukar dikuasai walaupun banyak teori dan teknik yang telah dipelajari oleh guru
pelatih di universiti maupun di institute-institut perguruan. Ia tidak dapat
dinafikan bahawa pengurusan bilik darjah ini mempunyai pelbagai cabaran yang
perlu dihadapi oleh para guru.
Kecanggihan teknologi menyebabkan pelajar pada generasi
sekarang lebih menumpukan perhatian pada sesuatu yang menarik. Pembelajaran dan
pengajaran pada dahulu kala tidak boleh dipergunakan lagi pada zaman sekarang.
Menulis, menyalin dan menghafal merupakan sesuatu kebiasaan bagi pelajar
generasi dahulu akan tetapi pelajar pada masa kini yang dikelilingi dengan
teknologi, kurang mudah menyerap dalam menulis, menyalin dan menghafal. Tidak
dinafikan bahawa berdasarkan dari Kementerian Pendidikan Malaysia, murid
bermasalah pembelajaran semakin meningkat dan ini menyebabkan guru-guru perlu
bertungkus lumus mengikut keupayaan murid-murid tersebut.
Teknologi yang semakin
canggih menyebabkan pelbagai idea kreativiti yang dapat dikeluarkan serta mencabar
minda. Ia bukan sahaja menjadi salah satu cabaran, akan juga menjadi suatu
kelebihan bagi guru untuk mempermudahkan pembelajaran dan pengajaran dalam
bilik darjah. Antara contoh teknologi yang sering dipergunakan adalah seperti
projektor, televisyen, komputer, dan sebagainya. Kepelbagaian teknologi yang
disediakan masih memberikan kesukaran pada guru yang sudah mengajar bertahun
sebelum ini. Ini disebabkan guru yang sudah lama memegang gelaran guru dari
dahulu tidak mempunyai teknologi yang serba canggih seperti sekarang jadi
guru-guru tersebut perlu menyesuaikan diri dalam penggunaan teknologi alat
bantuan mengajar.
Selain dari teknologi, masalah disiplin pelajar semakin
meningkat juga antara salah satu cabaran yang perlu ditempuhi. Pengurusan bilik
darjah memerlukan persekitaran bilik darjah yang positif, sekaligus memberikan
keselesaan pada para pelajar dan guru di dalam bilik darjah tersebut. Pelajar
yang bermasalah disiplin menyebabkan berlakunya gangguan terhadap guru dan
pelajar yang ingin menimba ilmu. Seperti yang dapat dilihat, pelajar pada zaman
sekarang ini lebih bersosial dan menyebabkan masalah disiplin semakin mudah
merebak. Di sini, guru mempunyai kuasa dalam bilik darjah untuk mengawal sikap
disiplin pelajar tersebut. Setiap masalah disiplin mesti mempunyai punca kenapa
pelajar tersebut berkelakuan sebegitu.
Punca-punca yang menyebabkan pelajar kurang berdisiplin
perlu diselidik dengan betul dan dirancang dengan betul oleh guru demi mengelak
kesan buruk yang akan ditimpa. Sebagai contohnya, masalah yang membabitkan
dengan pihak polis merupakan masalah yang sebolehnya perlu dielakkan kerana ia
boleh mencemarkan nama sekolah dan juga nama bagi pihak yang terlibat di dalam
kes tertentu. Masalah disiplin yang datangnya dari pelbagai pelajar dengan
berlatar belakang yang berbeza menyebabkan suatu cabaran bagi guru untuk
memahami situasi pelajar tersebut tanpa bertindak secara melulu. Di sini
pemikiran dan emosi guru amat tercabar. Seperti yang tersedia maklum, apabila
tingkah laku bermasalah atau disiplin berlaku di dalam bilik darjah, proses
pengajaran dan pembelajaran akan terjejas.
Kepelbagaian
masalah disiplin yang boleh kita dapati seperti membuli, menganggu rakan
sekelas yang ingin belajar, tidak menghormati guru di dalam kelas dan sebagainya
sehingga perkara ini bukan sesuatu yang janggal untuk didengari. Pembelajaran
dan pengajaran tidak dapat mencapai objektif dalam pembelajaran dan pengajaran
kerana tanpa kerjasama dari pelajar juga menyukarkan bagi guru. Pelajar
sebegini sukar untuk memberikan kerjasama melainkan terdapat sesuatu perkara
yang menarik minatnya sehingga pelajar itu sendiri yang merelakan dirinya
melibatkan dalam proses pembelajaran dan pengajaran.
Bagi menarik minat
pelajar yang bermasalah berdisiplin untuk melibatkan diri dalam pengurusan
bilik darjah adalah bukan sesuatu yang mudah kerana kebanyakannya mereka cepat
berasa bosan dan suka mencuba sesuatu yang mencabar diri mereka. Mereka
bagaikan darah muda yang suka meneroka apa yang mereka ingin merasai terutamanya
pada pelajar lelaki. Masalah disiplin yang ringan sehingga boleh bertukar
menjadi masalah disiplin yang berat, disebabkan itu guru-guru memainkan peranan
dalam mengawal tingkah laku pelajar di dalam bilik darjah seperti kata pepatah,
membentuk buluh biarlah dari rebungnya.
Cabaran yang boleh dikemukan adalah dengan cabaran
persekitaran bilik darjah yang serba kekurangan. Maksudnya disini, terdapat
bilik darjah yang tidak sekemas atau teratur seperti yang diharapkan misalnya,
lantai yang berlubang, kipas yang tidak boleh dipasang, bilik darjah yang
bersepah dan susunan meja yang terlalu padat disebabkan jumlah pelajar yang
ramai di dalam kelas. Perkara ini lebih memfokuskan kepada sekolah yang sudah
lama dibina berbanding sekolah yang baru dibina kerana sekolah yang lama
mempunyai bilik darjah yang kurang menyerlah atau kurang mata memandang.
Seperti yang didapati, kemeriahan dan kekemasan di dalam bilik darjah boleh
memberikan iklim yang positif di dalam bilik darjah sekaligus menjadikan iklim
sekolah lebih berpositif.
Pelajar akan berasa
lebih selesa dengan persekitaran yang baik dalam proses pengajaran dan
pembelajaran mereka. Sebagai contoh, kerusi yang sudah patah menyebabkan
pelajar tiada tempat untuk duduk sambil belajar sehingga mereka berasa kurang
selesa apabila terpaksa berkongsi kerusi dengan yang lain. Walaupun ia nampak
seperti masalah kecil, tetapi dengan masalah kecil sebegitu boleh mempengaruhi
kegangguan pada individu dan pada orang di sekelilingnya. Memerlukan banyak
perkara yang perlu dibaiki di dalam pengurusan bilik darjah terutamanya
kerosakan alat alatan di dalam bilik darjah yang dialami. Masih terdapat juga
beberapa antara sekolah yang lebih mementingkn penampilan bilik darjah di
bahagian kelas yang depan iaitu murid-murid yang cemerlang berbanding dengan
kelas di bahagian belakang iaitu murid-murid yang kurang cemerlang.
Ini menyebabkan kelas pelajar di bahagian kelas belakang
kelihatan seperti tidak terurus berbanding dengan kelas di bahagian depan.
Selain itu, boleh dilihat bahawa sekolah yang mempunyai program pendidikan khas
integrasi di mana murid bermasalah pembelajaran digabungkan dengan murid yang
berlainan keupayaan misalnya, pelajar kurang pendengaran dimasukkan di dalam
kelas pelajar bermasalah pembelajaran menyebabkan pelajar kurang pendengaran
tersebut akan ketinggalan dari apa yang guru ajar. Perkara sebegini membuatkan
pelajar kurang bersosial dengan pelajar yang lain dan juga guru yang bukan
mahir dalam bahasa isyarat menambahkan lagi kesukaran pelajar bermasalah
pendengaran untuk menuntut ilmu. Ketidaksesuaian suasana ini akan mempengaruhi
prestasi akademik pelajar berpendidikan khas.
10.0 STRATEGI DALAM MENANGANI MASALAH PENGURUSAN
BILIK DARJAH
Di setiap cabaran, ada
penyelesaiannya dan memerlukan usaha serta konsisten dalam menangani cabaran
pengurusan bilik darjah. Guru memainkan peranan yang penting dalam menguasai
bilik darjah dan memerlukan perancangan yang betul bagi menangani sesuatu
masalah bergantung pada keadaan suasana tersebut. Strategi dalam menangani
masalah kecanggihan teknologi dimana ia lebih menarik minat murid, pembelajaran
abad ke-21 telah diwujudkan dimana pelbagai aktiviti pembelajaran yang menarik
boleh digunakan. Sebagai contoh, lawatan bilik darjah, kotak beracun, pencarian
harta karun dan sebagainya. Selain itu, guru juga boleh menggunakan bahan
teknologi sebagai alat bantuan mengajar. Sebagai contoh, menggunakan komputer,
pembesar suara dan projektor bagi memaparkan video yang berkaitan dalam
pembelajaran bilik darjah.
Bagi menambahkan lagi proses pembelajaran dalam bilik
darjah yang menarik, guru boleh memberikan peluang pada belajar untuk
melakonkan watak pilihan mereka berdasarkan tajuk yang diberi oleh guru.
Pelajar boleh menunjukkan daya kreativiti mereka tersendiri dan memudahkan lagi
pelajar yang lain menikmati lakonan di depan mata, dalam masa yang sama mudah
memahami dalam sesuatu pembelajaran dan pengajaran. Aktivit-aktiviti sebegini
lebih melibatkan dengan aktiviti bersosial antara pelajar dengan pelajar yang
lain. Melalui bersosial, pelajar mudah untuk membincangkan masalah sesuatu
perkara dan bekerjasama bagi mencapai objektif proses pembelajaran mereka.
Sekiranya, perancangan guru dalam membuat aktiviti bilik
darjah kurang menarik minat pelajar, guru boleh memperbaiki lagi perancangan
supaya menjadi lebih baik. Walaupun, ia bukan perancangan yang sempurna tetapi
setiap kelemahan boleh diperbaiki lagi. Guru memerlukan usaha yang lebih bagi
menambahbaikkan perancangan bilik darjah. Pembelajaran yang menarik memudahkan
pelajar memberikan komitmen bersama dengan guru. Dengan lebih lanjut lagi, guru
juga boleh menggunakan tanda lampu isyarat, dimana sekiranya pelajar mempunyai
soalan mereka akan menggunakan lampu isyarat berwarna kuning, warna hijau
bermaksud setuju dan warna merah bermaksud tidak setuju. Ini menyebabkan
suasana bilik darjah itu bertambah seronok.
Seterusnya, dari segi
masalah disiplin adalah paling sukar untuk dibendung kerana seperti yang boleh
didapati prestasi masalah disiplin semakin berleluasa sehingga tersebar di
dalam akhbar harian. Guru kelas yang sukar untuk menangani seseorang pelajar
itu boleh meminta bantuan dari guru bdisiplin dimana guru disiplin akan membuat
tindakan yang setimpal pada murid bermasalah disiplin ini. Bagi menangani
masalah sebegini, guru perlu menyediakan peraturan di dalam kelas disertakan
dengan hukuman sekiranya pelajar tersebut melanggar peraturan bilik darjah.
Sebagai contoh, guru boleh menyediakan senarai perbuatan yang dilarang melakukannya
di dalam kelas dengan menyediakan hukuman yang tidak memudaratkan pelajar.
Hukuman dan peraturan yang diberi akan mengelakkan pelajar dari selalu
melakukan masalah disiplin di dalam kelas.
Selain itu dari hukuman guru juga boleh memberikan
ganjaran pada pelajar yang bertingkah laku dengan baik. Sebagai contoh,
memberikan cop ‘bagus’ pada hasil kerja sekolah mereka disebabkan sikap mereka
yang menyiapkan kerja sekolah yang diberi oleh guru. Ganjaran yang diberi
memberikan dorongan pada pelajar untuk melakukan sesuatu tingkah laku yang baik
dengan berterusan. Sekiranya dorongan itu masih tidak memberikan kesan pada
pelajar sehingga ia menganggu pelajar dan guru di dalam bilik darjah, guru boleh
memberitahu ibubapa pelajar tersebut semasa hari mengambil buku rekod.
Kerjasama ibubapa dapat memberi kesan kepada anak mereka kerana ibubapa
merupakan orang dewasa pertama dimana generasi muda perlu patuhi mereka sejak
dari lahir. Tanpa kerjasama atau bantuan dari ibubapa, matlamat untuk mengubah
disiplin murid akan menjadi sukar.
Akhir sekali adalah dalam penambahan keselesaan di dalam
bilik darjah dimana guru dan pelajar-pelajar bekerjasama dalam menghiaskan
bilik darjah dengan cantik. Setiap sekolah mempunyai pertandingan bilik darjah
yang tercantik dengan memberikan hadiah pada kelas yang terbaik boleh mendorong
para pelajar usaha untuk menghias kelas mereka sendiri dengan usaha kerjasama.
Semangat saling kerjasama sesama pelajar dan guru dapat mempertingkatkan lagi
persekitaran bilik darjah dengan positif. Guru turut boleh menyumbangkan
sebahagian wang untuk membantu muridnya serta memberikan sebarang idea yang
menarik.
Mengemas bilik darjah dilakukan dengan melalui jadual
bertugas bilik darjah. Setiap murid di dalam kelas mempunyai tugasan mereka
masing-masing seperti menyapu sampah, menyusun meja, mengelap tingkap, dan
sebagainya. Setiap kali sebelum memulakan kelas, guru sendiri perlu memastikan
kelas kelihatan bersih dan sekiranya ada kekotoran, guru perlu meminta pelajar
yang bertugas pada hari itu dengan melakukan tugasan mereka mengemas bilik
darjah. Setiap bilik darjah berlainan cara mereka menghiasi persekitaran bilik
darjahnya. Kesemua perancangan yang dipersetujui mestilah dari perbicangan yang
dilakukan oleh pelajar.
Perbincangan yang
melibatkan persetujuan yang banyak memberikan peluang bagi mengeluarkan
idea-idea yang menarik sebagai contoh, menghiasi kelas dengan tema binatang
atau menghiasi kelas dengan tema merdeka. Penyusunan meja juga boleh disusun
dengan cara berempat-empat dimana terbentuknya meja berkumpulan dan memudahkan
pelajar membuat kerja secara berkumpulan. Penyusunan meja sebegitu memberikan
pelajar yang kurang bersosial, akan mudah untuk berinteraksi dengan pelajar
yang lain dan guru boleh memberikan aktiviti yang melibatkan secara
berkumpulan.
Setiap hasil aktiviti yang telah dilakukan, pelajar boleh
membentangkan hasil kerja mereka dalam bilik darjah untuk menunjukkan idea
kreativiti yang telah mereka dapat. Melalui ini, pelajar berpeluang menonjolkan
diri mereka tersendiri dengan sifat kepimpinan yang ada dalam diri mereka. Hanya
dalam satu aktiviti sahaja ia melibatkan pelbagai kemahiran dari segi aspek
kognitif, emosi dan sosial sehingga mewujudkan sesuatu kelakuan dalam diri
pelajar. Misalnya, setiap kumpulan perlu mempunyai ketua kumpulan dan ketua
kumpulan perlu menggunakan kognitif, emosi dan sosial dengan betul untuk
mewujudkan sikap kepimpinan yang positif dalam diri.
Setiap strategi yang ada perlu dirancang terlebih dahulu
dengan mengikut kesesuaian dalam sesuatu situasi. Guru juga perlu
mempertimbangkan kekuatan dan kelemahan pada pelajar dalam bilik darjah untuk
memberikan pelajar peluang untuk menaikkan potensi dalam diri mereka berbanding
dengan merendahkan keyakinan diri pelajar. Lebih lanjut lagi, guru boleh
meminta pandangan terlebih dahulu dari orang yang lebih berpengalaman sebelum
guru tersebut bertindak, ini disebabkan bagi mengelakkan berlaku risiko yang
tinggi bagi pelajar dan juga guru itu sendiri.
11.0 PENUTUP
Secara keseluruhannya,
bilik darjah memainkan peranan penting terhadap tingkah laku dan juga
pencapaian akademik pelajar. Hal ini demikian, bilik darjah yang positif dan
kondusif akan memberi keselesaan kepada para pelajar untuk belajar dan
menggelakkan pembelajaran yang aktif kerana proses komuniksi antara guru dan
pelajar dan juga antara pelajar dan pelajar berjalan dengan baik. Bilik darjah
seumpama bilik tidur. Jika bilik tidur kemas dan bersih, maka penghuni bilik
tersebut akan tidur dengan selesa dan nyenyak. Begitu juga dengan bilik darjah.
Suasana di bilik darjah yang dihiasi dan diatur kemas dengan pelbagai carta,
gambar dan alat bantu mengajar, saiz bilik yang mencukupi memberi keselesaan
kepada murid-murid untuk menjalankan pelbagai aktiviti kumpulan atau permainan.
Tingkap dan pintu yang mencukupi untuk pencahayaan dan pengedaran udara dengan
baik serta keadaan kebersihan dan keindahan bilik darjah.
Selain daripada
aktiviti mengajar, guru-guru berperanan sebagai pengurus di dalam bilik darjah
iaitu mengurus rutin bilik darjah, mengurus bahan-bahan sumber pembelajaran,
mengurus disiplin dan masalah peribadi pelajar, dan mengurus keadaan fizikal
bilik darjah. Guru menjadi tunjang utama atau tulang belakang bagi menguruskan
sesebuah bilik darjah itu. Peranan guru juga penting dalam mengelola bilik
darjah. Seseorang guru itu harus mempunyai pengetahuan, kemahiran, kesabaran
dan komitmen yang tinggi bagi memperoleh kesan yang maksimum.
Pengurusan bilik darjah
dinamik ke arah pembinaan modal insan yang seiring dengan falsafah pendidikan
negara iaitu pembinaan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Pengurusan
bilik darjah memerlukan pelbagai pengetahuan, kemahiran, prosedur, teknik dan
strategi. Guru seharusnya memiliki gaya kepimpinan, kemahiran merancang,
kecekapan mengurus, kepelbagaian dalam pengajaran dan pembelajaran,
kebijaksanaan interpersonal, kemahiran berkomunikasi, kemahiran kaunseling dan
mampu mengendalikan teknologi maklumat dan komunikasi.
Secara amnya, bilik
darjah ialah bilik-bilik di sekolah di mana sekumpulan murid atau pelajar
mengikuti pelajaran atau belajar sesuatu mata pelajaran yang diajar oleh guru.
Untuk konsep yang lebih luas, bilik darjah tidak semata- mata merupakan ruang
untuk proses pengajaran dan pembelajaran, tetapi mencakupi pelajar-pelajar dan
guru yang belajar dan mengajar dan berinteraksi antara satu sama lain
didalamnya. Selain mengetahui dan memahami serta mampu mengamalkan prinsip-prinsip
pengurusan bilik darjah, guru juga perlu meneliti faktor-faktor lain dalam
pengurusan bilik darjah yang berkesan. Terdapat pelbagai faktor yang perlu
diambil kira oleh seorang guru sebagai pengurus.
12.0 ANALISIS
SWOT
12.1 KEKUATAN
(S)
Sepanjang perancangan dan pelaksanaan kajian di
sekolah, terdapat beberapa kekuatan atau kelebihan yang dapat kami kenalpasti. Susun
atur meja dan kerusi yang berbentuk kumpulan kecil memudahkan para pelajar
untuk membuat perbincangan dalam kumpulan. Melalui perbincangan bersama,
pelbagai pendapat akan dikeluarkan. Hal ini membantu pelajar memberikan tumpuan
serta melaksanakan aktiviti dengan lancar. Selain daripada untuk kemudahan
pelajar, tempat duduk yang bersesuaian juga dapat menggalakkan komunikasi
antara pelajar dan kolaboratif antara mereka. Di samping itu, pelajar yang
pintar juga boleh membantu pelajar yang lemah dalam mencapai pencapaian
akademik yang cemerlang.
Selain itu, ruang bilik darjah yang besar memudahkan
pergerakan murid dan guru. Guru boleh berdiri di tengah kelas serta dapat
memberi perhatian kepada semua murid dalam kumpulan. Ia juga memudahkan
pergerakan pelajar jika ada aktiviti dijalankan. Penggunaan teknologi seperti
televisyen dan projektor juga dapat menarik minat pelajar untuk belajar. Bilik
darjah di SMK Syeikh Abdul Ghani dilengkapi dengan kemudahan teknologi yang
dapat meransang minat pelajar untuk belajar.
12.2 KELEMAHAN
(W)
Terdapat beberapa kelemahan yang dapat kami kenalpasti
semasa melaksanakan kajian ini. Kedudukan para pelajar yang berbentuk kumpulan kecil
akan mendorong para pelajar untuk bersembang antara satu sama lain ketika
proses PdPc dijalankan. Hal ini demikian, pelajar akan duduk dalam satu
kumpulan dan akan mula berbual antara satu sama. Selain itu, ia juga menjadi
masalah kepada pelajar yang mendapat tempat menghadap ke belakang. Setiap kali
guru memulakan proses PdPc, pelajar tersebut harus berpusing ke belakang untuk
melihat guru di hadapan.
Ruangan bilik darjah yang terlalu besar juga akan
membuatkan guru terlepas pandang dengan pelajar yang tidak menumpukan perhatian
di dalam kelas. Justeru, ia akan memberi kesan kepada pencapaian akademik
pelajar jika mereka tidak menumpukan perhatian ketika di dalam kelas.
12.3 PELUANG
(O)
Penggunaan teknologi juga memberi peluang kepada
pelajar yang kurang berkemampuan untuk merasai penggunaan teknologi secara
langsung. Walaupun zaman sekarang zaman teknologi, tetapi masih ada pelajar
yang tidak mampu untu memiliki gajet atau komputer di rumah. Jadi, mereka akan
ketinggalan jika dibandingkan dengan pelajar lain seterusnya akan membuatkan
mereka berasa rendah diri. Oleh itu, penggunaan teknologi di sekolah memberi
mereka peluang untuk memberi pengalaman dan merasai dunia teknologi dengan
secara langsung dan lebih dekat.
Di samping itu, ia juga membuka peluang kepada guru
untuk meneroka dunia teknologi seterusnya dapat merancang strategi PdPc yang
kreatif dan berkesan terutamanya kepada guru lama yang sebelum ini hanya
menggunakan papan putih sahaja untuk mengajar. Guru-guru lama juga boleh
belajar untuk menggunakan teknologi secara meluas.
12.4 HALANGAN (T)
Kepelbagaian teknologi
yang disediakan masih memberikan kesukaran pada guru yang sudah mengajar
bertahun sebelum ini. Ini disebabkan guru yang sudah lama memegang gelaran guru
dari dahulu tidak mempunyai teknologi yang serba canggih seperti sekarang jadi
guru-guru tersebut perlu menyesuaikan diri dalam penggunaan teknologi alat
bantuan mengajar.
Peruntukkan
kewangan juga menjadi isu. Hal ini demikian, bilik darjah abad ke-21 menekankan
penggunaan teknologi yang memerlukan bajet yang besar untuk menggunakannya.
Tambahan pula jika berlaku kerosakkan akan memakan jumlah yang banyak untuk
membaikinya. Justeru pihak sekolah harus bekerja dengan lebih keras untuk
mencari dana agar dapat menampung perbelanjaan sekolah. Para pelajar juga harus
diajar untuk menggunakan peralatan komputer dan menjaga peralatan-peralatan
tersebut dengan baik agar tidak mudah rosak.
RUMUSAN
Secara keseluruhannya, bab ini mengenai pengurusan bilik darjah. Bilik
darjah merupakan medan perjuangan utama seorang guru menjalankan tugas, peranan
dan tanggung jawab. Fungsi utama sebagai seorang guru, adalah berusaha untuk
memotivasi pelajar untuk belajar. Ini boleh berlaku sekiranya guru boleh
membuat pelajar memberi sepenuh perhatian, berdisiplin dan bertingkah laku baik
semasa sesi pengajaran dijalankan. Setiap pelajar di sekolah memerlukan
pendidikan yang baik yang boleh guru tawarkan. Menjadi tanggungjawab guru
mencari jalan untuk mencapai matlamat ini. Sebagai seorang guru, perlulah
sentiasa bersedia dan merancang apakah yang akan dilakukan setiap kali masuk ke
dalam bilik darjah dan memulakan pembelajaran. Elemen-elemen ini merupakan
sesuatu yang akan membantu sepanjang sesi pengajaran berlangsung.
Kini, dalam era kemodenan konsep pembelajaran abad ke-21 menjadi
elemen utama dalam pengurusan bilik darjah. Penekanan dalam menguasai kemahiran
abad ke21 dalam proses pembelajaran dan pemudah cara (PdPc) haruslah bermula
dengan menerapkan konstruk kemahiran abad ke-21 dalam proses PdPc. Guru
dianggap mempunyai kompetensi tertentu untuk mengembangkan kemahiran, bakat,
potensi dan pengetahuan pelajar dalam pelbagai bentuk. Selain itu, pencapaian
murid sentiasa menjadi ukuran kepada keberhasilan proses pembelajaran yang
dialami murid dalam bilik darjah. Hal ini kerana PdPc yang bermakna sangat
membantu murid meningkatkan minat serta motivasi mereka untuk mengamalkan
pembelajaran sepanjang hayat. Bagi mencapai aspirasi pendidikan negara,
keberhasilan guru menjadi salah satu anjakan transformasi terkini. Bentuk PdPc
pada abad ke-21 masih tetap berpusatkan guru, akan tetapi guru memainkan
peranan penting untuk melibatkan murid secara aktif dalam aktiviti pembelajaran
di sekolah. PdPc menerusi kemahiran abad ke-21 sangat membantu guru dan pelajar
dalam usaha mencapai aspirasi pendidikan negara.
Oleh itu, penerapan kemahiran abad ke-21 akan dapat membantu
pelajar dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan cabaran globalisasi
dengan lebih berkeyakinan dalam bidang pendidikan, malah dalam bidang kerjaya.
Sikap, motivasi dan pencapaian sedikit sebanyak mampu mendorong pelajar untuk
menguasai kemahiran abad ke-21 dengan lebih cepat dan mudah serta memberi kesan
dalam jangka masa yang panjang merupakan satu hasil yang semestinya ditunggu-tunggu
oleh negara dalam melahirkan masyarakat yang serba boleh dalam pelbagai bidang
dan mampu berdaya saing dengan negara maju.
13.0 RUJUKAN
Ang, J. J. E. & Ed.D. (2014). Pegurusan bilik
darjah: strategi-strategi mewujudkan komuniti
pembelajaran berkesan. Selangor: PTS ACADEMIA.
Evertson, C. M. & Emmer, E.T. (2013). Classroom
management for elementary teachers. United State,
America: Pearson Education.
Haliza Hamzah & Samuel, J.N. (2014). Pengurusan
bilik darjah dan tingkah laku. Shah Alam,
Selangor: Oxford Fajar Sdn.
Bhd.
Mohamad Jodi Salleh. (2009). Pengurusan Bilik Darjah.
Pengajaran dan Pembelajaran, 2-22.
Norashikin Abu Bakar, Ramli Basri & Foo, S.F.
(2015). Hubungan kepimpinan guru dengan pencapaian
akademik pelajar. International
Journal of Education and Training (InjET), 1-11.
Nur Hanani Hussin & Ab Halim Tamuri. (2017).
Pendidikan Abad ke 21 Dalam Kepelbagaian Budaya:
Cabaran dan Harapan.
Rohami
Shafie. (2016, Mac 30). Bilik darjah dan generasi masa depan. Utusan Online,
Diperoleh
Robison,
T. (2018). Classroom management through lesson design: Considering some often-
overlooked variables to prevent issues before they
start. Journal of Education, 329(1), 33-35.
Rohani
Arbaa, Hazri Jamil & Mohammad Zohir Ahmad. (2017). Model Bersepadu
Penerapan
Kemahiran Abad ke-21 dalam Pengajaran dan
Pembelajaran, Jurnal Pendidikan Malaysia, 42(1): 1-11.
Siti
Nurshahizan Binti Razali. (2014). Gaya keibubapaan terhadap pencapaian akademik
pelajar.
Diperoleh daripada http://eprints.uthm.edu.my/7100/1/SITI_NURSHAHIZAN_BINTI_RAZALI_24.pdf
Torek
Sulong. (2018, Mac 10). RM190 juta wujudkan bilik darjah pintar. Utusan Online,
Diperoleh
daripada http://www.utusan.com.my/pendidikan/sekolah/rm190-juta-wujudkan-bilik-darjah-pintar-1.624829
Wiyani, Novan Ardy Ratri, & Rose Kusumaning.
(2016). Manajemen kelas: teori dan aplikasi untuk
menciptakan kelas yang kondusif. Jogjakarta: Ar-Ruzz Media.
Wong, L. (2013). Perkembangan sosioemosi. Diperoleh
daripada
No comments:
Post a Comment