Friday, December 14, 2018

Pengurusan Bilik Darjah

KPS3014 PENGURUSAN BILIK DARJAH 😍😍😍😍


peta minda Pengurusan Bilik Darjah *TEKAN GAMBAR 👆


1.0       PENGENALAN
Misi Kementerian Pelajaran Malaysia adalah untuk membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti bertaraf dunia agar setiap generasi mampu bersaing dengan persaingan yang sengit dalam era globalisasi pada masa kini. Manakala, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 pula telah meletakkan kualiti pencapaian akademik pelajar sebagai agenda utama reformasi pendidikan. Justeru, melalui pelaksanaan PPPM 2013-2025, sasaran dan aspirasi untuk sistem pendidikan berkualiti di Malaysia dapat dilaksanakan dengan berkesan melalui kerjasama semua pihak terutamanya komitmen warga pendidik di sekolah (KPM, 2013). Guru memainkan peranan yang penting untuk merealisasikan misi KPM tersebut sebagai pelaksana di peringkat sekolah tidak kira sama ada sekolah rendah ataupun sekolah menengah. Oleh itu, aspek pengurusan bilik darjah merupakan salah satu elemen utama bagi melahirkan insan yang cemerlang tidak kira dari segi kurikulum mahupun kokurikulum.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pengurusan merupakan perihal dalam mengurus sesuatu dan perihal mengurus syarikat, institusi, badan perniagaan dan sebagainya. Pengurusan juga melibatkan penggubalan dan perancangan, melaksanakan perancangan dan bekerjasama secara berkesan dengan orang lain untuk melakukan perkara yang betul sehingga mencapai matlamat. Menurut perspektif Islam pula, pengurusan ditakrifkan sebagai satu proses melakukan kerja dan menyempurnakan kerja melalui fungsi-fungsi pengurusan secara fitrah bersama orang lain dalam usaha mencapai objektif kerja secara berkesan dengan menggunakan sumber-sumber organisasi yang cekap dalam persekitaran yang dinamik dan sentiasa berubah-ubah bagi mencapai objektif organisasi demi mencapai al-falah di dunia dan di akhirat.
Bilik darjah adalah sebuah bilik yang mempunyai sekumpulan pelajar yang diajar oleh seorang guru. Pengurusan bilik darjah adalah istilah yang digunakan oleh guru untuk menerangkan proses memastikan pelajaran di dalam kelas berjalan dengan lancar dan berkesan walaupun pada masa yang sama berlaku gangguan daripada tingkah laku murid. Selain itu, organisasi dan kawalan guru ke atas tingkah laku, pergerakan serta interaksi pelajar semasa pembelajaran berlangsung. Menurut Alberto & Troutman pula, pengurusan bilik darjah adalah kemahiran guru mengurus masa, ruang, sumber pembelajaran, peranan dan tingkah laku pelajar dalam menyediakan suatu iklim yang sesuai untuk pembelajaran. Menurut Haliza dan Samuel (2014), pengurusan bilik darjah perlu dilihat sebagai satu bidang yang lebih meluas berbanding hanya kawalan bilik darjah serta peraturan sahaja. Malah, perkara yang perlu dilihat dan dilakukan oleh seorang guru adalah menggalakkan penglibatan dan kerjasama antara pelajar di dalam bilik darjah. Pengurusan bilik darjah juga merupakan satu proses untuk memastikan kelancaran serta keberkesanan pelaksanaan proses pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPC) berjalan dengan efektif dan berkesan.


2.0       LATAR BELAKANG
Sekolah Menengah Syeikh Abdul Ghani ialah sebuah sekolah menengah harian yang terletak di jalan Sungkai, Bidor. Sekolah ini merupakan gred A dengan kod sekolah AEE0039 dan ditubuhkan pada Januari 1965 dengan nama Sekolah Menengah Rendah Bidor (Lower Secondary School, Bidor). Pengetua sekolah yang pertama En. Lai Sam Keong dan seramai 211 pelajar dan kelas tingkatan satu dibuka. Walaubagaimapun, pelajar sekolah ini ditempatkan di SMKJC Choong Hua Bidor dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bidor.
Pada tahun 1969, pihak sekolah telah memiliki bangunan sendiri yang terdiri daripada 3 blok bangunan 2 tingkat batu dan sebuah kantin. Pada tahun 1973 telah diadakan pesta ria yang pertama di sekolah malah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Kamaruddin b. Isa, Menteri Besar Perak bertujuan menampung perbelajaan kelengkapan sekolah dan perpustakaan. Selain itu, majalah sekolah Baiduri jilid pertama diterbitkan serta Lembaga Pentadbiran Sekolah mengemukan satu permohonan untuk menukarkan nama sekolah kepada Sekolah Menengah Syeikh Abdul Ghani. Kelulusan membenarkan pertukaran nama sekolah ini telah diterima pada 28 November 1973 dan yang paling menarik sekali ialah nama sekolah ini diambil bersempena nama tokoh yang sangat penting dalam sejarah tempatan di Bidor.  Syeikh Abdul Ghani adalah penghulu Bidor yang pertama semasa pemeritahan Sultan Salehuddin, Sultan Perak ke-9 serta nama Bidor pula berasal dari acuan biji timah yang dibuat dari kayu bagi menyukat bijih timah serta sebagai mengenang jasanya terhadap masyarakat tempatan, nama Beliau diabadikan untuk nama baru sekolah ini.
Seterusnya, prestasi yang baik dalam pelbagai bidang yang telah ditunjuk oleh sekolah, Kementerian Pelajaran telah membina sebuah blok batu 2 tingkat yang dapat menempatkan 6 buah kelas. Setelah hampir satu dekad dibina, akhirnya sekolah ini dirasmikan pada 2 Oktober 1982 oleh YAB Dato Sri Wan Mohammad b Haji, Wan T, SPCM, PJK, JP Menteri Besar Perak dan projek gotong royong diadakan pada hujung tahun untuk membuat tempat letak basikal telah mendapat perbelajaan pembinaan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dilancarkan oleh En. Abdul Rahman Bin Haji Ahmad, Pengawai Daerah Batang Padang.
Kecemerlangan sekolah ini diteruskan melalui pelbagai aktiviti yang diadakan dalam mengapai pencapaian yang cemerlang dan memberi pendedahan kepada pelajar sekolah dalam melakukan aktiviti bagi mencapai visi dan misi sekolah. Pada Januari 1995 iaitu 30 tahun  Sekolah Menengah Kebangsaan Syeikh Abdul Ghani ditubuhkan, sekolah ini telah dinaikkan tarafnya kepada Sekolah Menengah Gred A dan pelajar sekolah terdiri dari pelbagai kaum Melayu, Cina serta India yang tinggal di sekitar Bidor ini.  Akhir sekali, pada tahun  2018, sebanyak 28 bilik darjah dan 15 makmal termasuk makmal sains, makmal bahasa, makmal biologi, makmal fizik, makmal kimia dan bilik kemahiran hidup dalam sekolah ini. 

3.0       OBJEKTIF
Terdapat lima objektif kajian sepanjang melakukan projek berasaskan sekolah ini. Antara objektif kajian ini adalah:

                                i.            Mendefinisikan pengurusan bilik darjah.
                              ii.            Mengetahui cara pengurusan bilik darjah di sekolah.
                            iii.            Mengenalpasti perbezaan bilik darjah abad ke-21 dengan bilik darjah biasa.
                            iv.            Mengetahui ilmu pengurusan bilik darjah.
                              v.            Mengetahui strategi dalam pengurusan bilik darjah.


4.0       JENIS BILIK DARJAH
Apa yang terkandung di dalam  perkembangan sistem, terdapat beberapa jenis bilik darjah pada masa kini mengikut perbezaan ciri dan fungsinya. Antara jenis bilik darjah yang telah dikenalpasti ialah bilik darjah tradisi, bilik darjah bercantum, bilik darjah KBSM/KSSM dan bilik darjah terbuka.


4.1       BILIK DARJAH TRADISI
            Bilik darjah tradisi ini telah lama digunakan di negara kita untuk mendidik murid di bawah kurikulum lama iaitu KLSM dan KLSR iaitu sebelum KBSR dan KBSM diperkenalkan. Bilik darjah tradisi ini merupakan satu tempat bagi sekumpulan pelajar mengikut pelajaran yang disampaikan oleh guru menggunakan kaedah keseluruhan kelas. Di dalam bilik darjah jenis ini biasanya pelajar akan duduk mengikut susunan kerusi dan meja sebaris demi sebaris. Guru lazimnya akan berdiri di hadapan bilik darjah dan menyampaikan pengajaran menggunakan kaedah dan strategi yang tertentu. Terdapat kerusi dan meja guru serta papan hitam yang digantungkan dihadapan kelas.


4.1.1    CIRI-CIRI BILIK DARJAH TRADISI:
                                                                                i.            Kerusi dan meja disusun mengikut baris demi baris.
                                                                              ii.            Pelajar yang rendah akan duduk di hadapan dan pelajar yang tinggi akan duduk dibelakang.
                                                                            iii.            Kerusi dan meja pelajar disusun sesuai dengan kaedah pengajaran yang lebih berpusat pada guru.
                                                                            iv.            Cara pengajaran keseluruhan kelas merupakan kaedah mengajar utama di dalam bilik darjah.
                                                                              v.            Jarang praktikkan aktiviti berkumpulan.


4.2       BILIK DARJAH KBSM DAN KSSM ABAD KE-21
            Bilik darjah jenis ini mempunyai perbezaan yang begitu ketara jika dibandingkan dengan bilik darjah tradisi. Dari sudut susunan fizikal, kerusi dan meja pelajar disusun mengikut kaedah kumpulan. Ini kerana program ini menekankan aktiviti pembelajaran secara berkumpulan dan interaksi antara guru dengan pelajar serta pelajar dengan pelajar yang sangat ditekankan. Dari segi strategi pengajaran, pendekatan yang digunakan lebih bersifat berpusat pelajar dan penglibatan mereka secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran amatlah digalakkan.
Dari segi bentuk dan kemudahan di dalam bilik darjah telah disediakan ruang pembelajaran untuk memudahkan pelajar menjalankan aktiviti pembelajaran. Selain itu bahan pengajaran dan hasil pembelajaran juga diletakkan di ruang tersebut. Hal ini menimbulkan suasana bilik darjah yang menarik dan merangsang proses pengajaran dan pembelajaran.

4.2.1    CIRI BILIK DARJAH KBSM DAN KSSM ABAD KE-21
                                                                                i.            Kerusi dan meja pelajar disusun mengikut kumpulan.
                                                                              ii.            Pelajar dibahagikan mengikut kumpulan tertentu berdasarkan kebolehan tersendiri.
                                                                            iii.            Menggalakkan penglibatan pelajar secara aktif.
                                                                            iv.            Menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar.
                                                                              v.            Kerap melaksanakan interaksi antara guru dengan pelajar dan pelajar dengn pelajar.
                                                                            vi.            Pelajar akan sentiasa berada dalam keadaan yang aktif.

4.3       BILIK DARJAH TERBUKA
            Bilik darjah terbuka wujud hasil daripada konsep pendidikan terbuka. R.S Barth menyatakan bahawa konsep pendidikan terbuka sebagai suatu pendekatan pengajaran dan pembelajaran ruang-ruang pembelajaran bahan untuk mengajar di dalam kelas dan tahu strategi dalam proses pembelajaran. Apa yang dikatakan dalam sistem pendidikan terbuka, pelajar diberi peluang dalam merancang aktiviti pembelajaran sendiri terlebih dahulu dan kemudian pengajaran daripada guru perlulah dikurangkan pada peringkat minimum. Apa yang ingin dikatakan bahawasanya guru adalah sebagai penasihat pembimbing dan memilih bahan pengajaran dan aktiviti pengajaran samada secara berkumpulan atau dikehendaki secara individu.

          Pendekatan pengajaran secara berpasukan yang melibatkan beberapa orang guru terlatih dalam bidang pengajaran akan digunakan sebagai guru untuk membimbing pelajar di dalam bilik darjah terbuka. Ruang dan reka bentuk bilik darjah diubahsuai untuk membolehkan murid bergerak dengan bebas dari satu tempat ke tempat yang lain .Situasi teknik pengajaran di dalam bilik darjah hendaklah bersesuaian agar pelajar selesa untuk bergerak ke suatu tempat lain dalam pemilihan bahan pengajaran yang diminati dan menjalankan aktiviti pelajaran selepas berbincang dengan guru.

4.3.1    CIRI-CIRI BILIK DARJAH TERBUKA
                                                                    i.            Pelbagai aktiviti dilaksanakan dan jadual mudah diubah.
                                                                  ii.            Pelajar bebas bergerak dan memilih bahan yang diminati.
                                                                iii.            Kumpulan pelajar dibentuk berdasarkan akademik.
                                                                iv.            Mempunyai suasana saling mempercayai dan menghormati.
                                                                  v.            Perhubungan antara guru dan pelajar dan juga pelajar lebih terbuka.

Apa yang kita ketahui guru yang berada dalam bilik darjah ada peranannya sendiri dalam membimbing murid di dalam kelas, dengan menguruskan pembelajaran, menjadi seorang kaunselor kepada murid yang mempunyai masalah dalam pembelajaran yang tidak difahami, pemudah cara atau fasilitator. Apa yang kita dapat lihat, bilik darjah bukanlah tempat untuk pelajar mendapat ilmu semata-mata sedangkan banyak fungsinya kepada guru juga. Selain itu, pelajar akan diberi peluang untuk membentukkan diri menjadi seorang yang disiplin. Dalam memperolehi markah yang tinggi juga pelajar boleh capai dengan membuat perbincangan dengan pelajar lain dan berjumpa dengan guru yang mengajar mata pelajaran tersebut untuk bertanyakan apa yang tidak difahami dengan mata pelajaran itu.


5.0       KONSEP MENGURUS BILIK DARJAH
Konsep pengurusan bilik darjah perlu melibatkan segala aktiviti yang dilaksanakan oleh guru dalam membentuk dan mewujudkan sebuah iklim bilik darjah yang membantu keberkesanan dan kecekapan pengajaran. Melalui konsep tersebut proses mengatur dan melaksana segala urusan bilik darjah bagi memastikan pembelajaran yang diharapkan itu dapat berlaku dengan sempurna. Antara proses yang perlu dilakukan adalah bagaimana guru bertindak dan strategi yang digunakan untuk mengekalkan peraturan bilik darjah. Mewujudkan bilik darjah yang kondusif dan menghadapi tingkah laku murid yang pelbagai dengan bijak serta menggunakan kaedah yang berkesan dan dapat menarik perhatian pelajar.


6.0       PENDEKATAN PENGURUSAN BILIK DARJAH
Pendekatan biasanya dimaksudkan dengan arah atau hala yang kita ambil untuk menuju sesuatu sasaran. Guru perlu memainkan peranan untuk membimbing dan memberi motivasi kepada pelajar untuk menarik minat pelajar belajar tentang perkara atau benda yang baru. Pendekatan yang dipilih haruslah sesuai dengan keperluan pelajar. Menurut Ahmad (2011), mendekatkan sesuatu dalam bidang pendidikan dinamakan pendekatan. Setiap pendekatan hendaklah mencerminkan satu pandangan atau pendapat tentang hakikat satu matlamat pelajaran. Ia bertujuan untuk memudahkan pelajar menerima dan memahami isi pelajaran yang disampaikan oleh guru. Dengan adanya pendekatan guru dapat membuat tanggapan asas yang akan dijadikan prinsip amalan bilik darjah.
Pendekatan yang digunakan oleh seseorang guru dalam pengurusan bilik darjah adalah sangat penting kerana ianya akan mempengaruhi tingkah laku pelajarnya. Dalam pendekatan-pendekatan yang digunakan, guru memainkan peranan penting dalam mengembangkan dan menjaga disiplin pelajar di dalam kelas dan luar bilik darjah. Pendekatan-pendekatan yang digunakan nampak mudah tetapi jika kurang mahir dalam melaksanakannya, akan memberi impak terhadap guru, pelajar serta sekolah. Secara keseluruhannya ialah pendekatan merupakan sesuatu yang umum dan ia seolah-olahnya menunjukkan sesuatu haluan tetapi tidak menerangkan bagaimana caranya untuk menuju haluan itu.

6.1       PENDEKATAN AUTORITARIAN
Pendekatan pertama yang boleh digunakan adalah pendekatan autoritarian. Autoritarian bermaksud tegas dan tiada tolak ansur. Guru kelas adalah berkuasa penuh dalam pendekatan ini. Di dalam sesebuah bilik darjah, guru kelas akan menetapkan peraturan-peraturan bilik darjah tanpa berbincang dengan pelajar dan wajib dipatuhi oleh pelajar. Jika tidak dipatuhi, tindakan atau dendaan akan dikenakan terhadap pelajar. Guru kelas juga berhak meminda peraturan-peraturan tersebut tanpa persetuan daripada para pelajarnya. Semua tingkah laku dan perbuatan di dalam kelas tersebut adalah berpandukan peraturan-peraturan yang ditetapkan.
Prosedur menetapkan peraturan di bilik darjah sangat penting sebagai garis panduan kepada tingkah laku pelajar di bilik darjah. Antara contoh peraturan yang boleh diwujudkan ialah seperti peraturan mengenai apa yang perlu dilakukan oleh pelajar ketika guru mengambil kedatangan pelajar, cara mendapatkan keizinan untuk ke tandas, bagaimana prosedur menjawab pertanyaan guru dan juga peraturan khusus apabila aktiviti kumpulan dijalankan.


6.2       PEDEKATAN PERMISIF
Pendekatan yang kedua adalah pendekatan permisif iaitu kebebasan. Pendekatan ini bertentangan dengan pendekatan autoritarian di mana pendekatan permisif mementingkan amalan demokratik (pilihan).  Mengamalkan prinsip demokrasi di dalam bilik darjah dapat memperbaiki komunikasi. Wujudnya amalan demokrasi dalam bilik darjah akan melahirkan suasana yang kondusif dan harmoni. Murid tidak akan rasa berasa takut atau tertekan untuk menyuarakan pendapat mereka. Mereka bebas menyuarakan pandangan walaupun pandangan mereka itu kurang disenangi oleh guru dan rakan lain.
Permisif merupakan kebebasan melakukan sesuatu tanpa halangan atau sekatan daripada individu atau pihak lain. Kebebasan diberikan sepenuhnya kepada pelajar untuk membuat keputusan sendiri dan dapat mengembangkan potensi diri mereka yang mereka rasa terbaik untuk diri mereka. Guru hanyalah sebagai pembimbing yang berperanan memberi nasihat dan pandangan kepada pelajar tersebut tetapi keputusan akhir adalah daripada pelajar itu sendiri. Kongkongan atau halangan daripada pihak tertentu akan membantutkan perkembangan semula jadi dan kognitif pelajar. Sebagai contoh, pelajar akan membuat keputusan sendiri sama ada ingin mengikuti aliran sains atau aliran sastera semasa berada di tingkatan empat. Pilihan yang dipilih bergantung kepada kemampuan dan kehendak pelajar sendiri. Inti pati pendekatan permisif adalah penglibatan dan gangguan guru pada tahap yang minima.

6.3       PENDEKATAN SOSIOEMOSI
Seterusnya adalah pendekatan sosioemosi. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, menakrifkan sosial sebagai segala yang berkaitan dengan masyarakat, perihal masyarakat dan kemasyarakatan. Emosi boleh dikategorikan dalam beberapa bentuk iaitu gembira, sedih, takut, marah dan lain-lain. Tahap emosi juga pelbagai dan secara umumnya emosi dikelaskan sebagai emosi positif seperti gembira, teruja dan girang. Manakala emosi negatif pula adalah seperti marah, sedih, kecewa dan lain-lain. Oleh itu, sosioemosi di kalangan pelajar dapat ditakrifkan sebagai satu proses berinteraksi dan mengadaptasikan diri dalam masyarakat.
    Pendekatan sosioemosi adalah cara guru mewujudkan suasana bilik darjah yang positif dan kondusif. Hal ini demikian, suasana bilik darjah akan mempengaruhi emosi pelajar. Suasana kelas yang positif seperti pencahayaan yang baik, aliran udara yang lancar dan kemudahan bilik darjah yang lengkap akan melahirkan emosi yang positif untuk pelajar menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Guru juga perlu bersifat empati dalam memahami tingkah laku pelajar dengan cara mewujudkan komunikasi antara guru dengan pelajar dan komunikasi antara pelajar dengan pelajar. Hal ini demikian, kerana komunikasi yang berterusan akan memberikan impak yang positif kepada suasana bilik darjah tersebut di mana setiap pelajar akan saling bekerjasama melakukan sesuatu tugasan. Sekiranya guru mendapati terdapat pelajarnya yang mempunyai masalah, maka tanggungjawab guru adalah mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh pelajar dengan kadar yang segera agar masalah tersebut tidak mengganggu emosi pelajar seterusnya menyebabkan suasana kelas menjadi hambar.

6.4       PENDEKATAN MODIFIKASI TINGKAH LAKU
Seterusnya adalah pendekatan modifikasi tingkah laku. Masalah tingkah laku sememangnya sering dihadapi oleh guru semasa proses pengajaran dn pembelajaran berlaku. Modifikasi secara umum didefinisikan sebagai usaha untuk mengubah atau menyesuaikan. Namun secara khusus modifikasi adalah suatu upaya yang dilakukan untuk menciptakan dan menampilkan sesuatu hal yang baru, unik, dan menarik. Tingkah laku merujuk kepada semua perkara yang dilakukan oleh seseorang – tindakbalas kepada stimulus (peristiwa dalaman atau luaran). Modifikasi tingkah laku adalah langkah-langkah yang sistematik berdasarkan prinsip-prinsip psikologi untuk mengubah tingkah laku yang negatif kepada positif. Modifikasi tingkah laku ini merupakan cara menguruskan bilik darjah. Ia sesuai untuk mengatasi masalah sama ada negatif atau positif.
Pendekatan modifikasi tingkah laku boleh dilakukan dengan cara memberikan peneguhan positif kata-kata pujian atau dengan cara negatif iaitu hukuman. Kata-kata pujian dan ganjaran untuk menggalakkan tingkah laku yang diingini serta mengurangkan tingkah laku yang tidak diingini. Menurut model modifikasi tingkah laku B.F Skinner, prinsip peneguhan terbahagi kepada dua iaitu peneguhan positif dan juga peneguhan negatif. Peneguhan positif ialah ransangan berbentuk hadiah atau pujian bertujuan untuk meningkatkan tingkah laku yang diingini manakala peneguhan negatif pula ialah sebarang denda bertujuan untuk mengeluarkan rangsangan yang tidak diingini.
Menurut Skinner lagi, untuk mendapatkan tingkah laku yang diingin, maka peneguhan dan ganjaran perlu diberikan kepada pelajar. Walaubagaimanapun, peneguhan mempunyai beberapa kelemahan iaitu motif pelajar akan bertukar kepada mendapat ganjaran daripada unsur memperoleh pembelajaran. Selain itu, kurang berkesan untuk pelajar dewasa atau pelajar yang mempunyai masalah tingkah laku yang serius serta kurang berkesan untuk mengurangkan masalah tingkah laku. Guru memainkan peranan untuk memodelkan tingkah laku yang diingini.

6.5       PENDEKATAN KUMPULAN
Pendekatan keenam adalah pendekatan kumpulan. Ahmed et. al (2004) mendefinisikan kumpulan sebagai dua atau lebih individu yang berinteraksi dan tidak bergantung antara satu sama lain ke arah pencapaian matlamat tertentu. Kumpulan kerja merupakan kumpulan yang secara amnya berkongsi maklumat dan membuat keputusan bagi membantu setiap ahli menjalankan tugas dengan baik dalam bidang yang ia dipertanggungjawabkan. Kumpulan kerja tidak perlu tahu atau berpeluang untuk terlibat di dalam koleksi kerja yang melibatkan penggabungan dan penyatuan usaha. Prestasi dinilai atas sumbangan individu dalam kumpulan. Dengan kata lain, prestasi kumpulan adalah hasil campur sumbangan setiap ahli dalam kumpulan.
Pendekatan kumpulan bermaksud pelajar bekerja dalam kumpulan. Walaupun berkumpulan setiap pelajar mengekalkan individualitinya dan membantu untuk menyumbang idea kepada kumpulan. Setiap pelajar dalam kumpulan bertanggungjawab berkongsi idea dan memberi sumbangan yang baik, bukan mengikut sahaja. Guru memainkan peranan penting lebih-lebih lagi bagi murid pendidikan khas. Guru haruslah memastikan murid boleh mengalami pembelajaran bertujuan dan matlamat serta objektif kumpulan secara beransur dan penilaian diadakan berterusan. Guru mestilah berulang-ulang kali menyatakan objektif kerja secara kumpulan, kelas dan individu. Ini supaya murid memahami peranan dan akan meningkatkan kerjasama untuk kejayaan kerja kumpulan. Pendekatan kumpulan sebagai satu kaedah pengajaran membantu murid menjadi bebas serta yakin dan pada masa yang sama belajar bahawa seseorang itu bergantung antara satu sama lain. Ia sesuai sebagai satu cara untuk mempertingkatkan penyesuaian sosial. 
Kumpulan pelajar di dalam bilik darjah dianggap sebagai satu sistem sosial yang perlu diwujudkan dan akan memberikan impak yang positif kepada pengajaran dan pembelajaran. Guru harus memainkan peranan untuk mewujudkan dan mengekalkan sistem sosial yang efektif dan produktif. Apabila pelajar melakukan kerja secara berkumpulan di dalam bilik darjah, maka mudah bagi guru untuk mengawal situasi pembelajaran pada waktu tersebut. Hal ini demikian, kerana pelajar-pelajar kurang melakukan salah laku kerana guru sentiasa peka dengan suasana dan aktiviti di dalam bilik darjah. 

6.6       PENDEKATAN PENGAJARAN
Pendekatan keenam adalah pendekatan pengajaran. Pengajaran merupakan aktiviti yang berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan yang meliputi aktiviti perancangan, pengelolaan, penyampaian, bimbingan dan penilaian. Pengajaran boleh dihuraikan sebagai satu cara untuk menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk berfungsi dengan baik. Faktor terpenting dalam pengajaran ialah guru perlu menilai keperluan–keperluan pembelajaran yang spesifik dan mengaplikasi strategi-strategi serta aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk pelajar. Secara ringkas, pengajaran merupakan proses untuk menyampai dan menyumbang idea-idea serta memudahcara pembinaan ilmu, menentukan standard dan menggalakkan kreativiti, membantu seseorang pelajar untuk belajar dan mencabar pelajar ke arah pencapaian potensi optimum. 
Pendekatan pengajaran yang boleh digunakan adalah pendekatan masteri, konstektual, konstruktif, koperatif, kolaboratif, penggabungjalinan pelbagai ilmu disiplin dan pembelajaran berasaskan masalah. Terdapat banyak kaedah pengajaran dan pembelajaran yang boleh digunakan di dalam bilik darjah antaranya kaedah berpusatkan pelajar, kaedah perbincangan, main peranan penyelesaian masalah, pembelajaran atas talian, inkuiri dan sebagainya.

7.0       KEMAHIRAN MENGURUS BILIK DARJAH
Pengurusan bilik darjah merupakan sebahagian dari proses pengajaran dan pembelajaran bertujuan untuk membina serta memupuk tingkah laku pelajar dalam bilik darjah agar proses pengajaran dapat dilaksanakan dengan lancar, manakala aktiviti penyampaian ilmu bertujuan supaya pelajar dapat mencapai objektif spesifik sesuatu pembelajaran (Haliza & Joy Nesamalar, 2014). Suasana pembelajaran yang berkesan tidak mungkin terbina dengan hanya memberi tumpuan pada proses penyampaian isi pengajaran guru sahaja. Ia turut melibatkan aspek pengurusan bilik darjah serta tingkah laku pelajar. Kecekapan pengurusan bilik darjah seseorang guru berkait rapat dengan keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (Abdullah Sani, 2006).
Sebagai seorang guru ilmu atau kemahiran dalam mengurus bilik darjah amat penting dalam sesi pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlangsung. Perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh guru ialah bagaimana untuk mengurus bilik darjah apabila melangkah masuk ke bilik darjah untuk mengajar. Para pelajar secara langsung akan terus menilai guru yang akan mengajar mereka. Bagi pelajar guru merupakan individu yang menjadi contoh dan rujukan. Sebagai seorang guru, perlulah sentiasa bersedia dan merancang apakah yang akan dilakukan setiap kali melangkah masuk ke dalam bilik darjah. Kemahiran atau ilmu dalam pengurusan blik darjah merupakan sesuatu yang akan membantu guru sepanjang pengajaran dan pembelajaran dikendalikan.
            Merancang sesuatu sebelum kelas bermula merupakan kemahiran pertama yang perlu dikuasai oleh seorang guru. Semasa merancang guru akan merujuk sukatan pelajaran untuk menentukan objektif dan hasil pembelajaran. Selepas itu, guru perlu memilih topik, menentukan pendekatan yang paling sesuai, memilih strategi dan kaedah mengajar dengan mengambil kira gaya pembelajaran yang berbeza. Kemudian, guru perlu membentuk aktiviti atau tugasan yang sesuai dengan tahap pencapaian muridnya, menyusun pengalaman pembelajaran, menetapkan tempoh bagi setiap akitiviti atau tugasan, membentuk penilaian, menyediakan sumber PdPc serta aktiviti pemulihan dan pengayaan. Pada masa ini, guru juga haruslah mengambil kira tempat pembelajaran, sama ada di bilik darjah, makmal, pusat sumber atau di luar kawasan sekolah.
Kedua, kemahiran mengelola. Dalam kemahiran ini seorang guru perlu memberikan arahan yang jelas, memaklumkan peraturan dan prosuder, menyelaras dan mengatur aktiviti serta bahan pembelajaran, mengagihkan tugasan, membahagikan murid kepada kumpulan, menentukan kedudukan dan susunan murid atau kumpulan. Guru juga perlu mengambil perhatian dalam menentukan kedudukan dan susunan murid atau kumpulan. Hal ini dilakukan supaya murid memahami hala tuju dan peranan mereka di dalam bilik darjah. Kelolaan yang baik juga dapat memastikan kelancaran proses pembelajaran.
Kemahiran mengawal juga termasuk dalam ilmu pengurusan bilik darjah. Dalam pengawalan bilik darjah guru perlu memantau, memastikan muridnya selesa, cukup bahan pembelajaran dan sedang melibatkan diri dalam pembelajaran. Sekiranya ada murid yang tidak memberikan perhatian atau menimbulkan masalah, guru boleh memanggil nama murid, menegur, menasihati, atau menghantarnya ke unit disiplin sekiranya perlu. Guru juga perlu memastikan murid yang memerlukan bimbingan mendapat perhatian dan diberikan aktiviti pemulihan dan murid yang dapat menguasai konsep pembelajaran diberi aktiviti pengayaan.
Selepas guru dapat mengawal bilik darjah, kemahiran membuat refleksi juga harus dilakukan kerana penting dalam penambahbaikan kawalan bilik darjah secara menyeluruh. Oleh itu, guru perlulah menganalisis dan menilai keberkesanan amalannya. Melalui aktiviti atau pendekatan, strategi dan kaedah yang digunakan, aktiviti atau tugasan, bahan bantu mengajar serta bentuk penilaian yang digunakan semasa pengajaran dilaksanakan. Guru juga mesti bertanggungjawab dan bersifat terbuka untuk menerima kemungkinan berlakunya kesilapan dan membuat perubahan, bersedia mencuba alternatif yang lain, mendengar serta mempertimbangkan maklumat daripada sumber-sumber lain. Hal ini kerana, budaya sedikit sebanyak akan dapat membantu guru dalam meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran yang efektif selaras dengan pembelajaran masa kini. 
Menjalin hubungan guru-murid merupakan kemahiran yang amat penting dan perlu difokuskan oleh setiap guru dalam ilmu pengurusan bilik darjah. Sebagai seorang guru, kita merupakan individu yang berperanan dalam menjadi penggerak dan pemimpin di dalam bilik darjah. Oleh itu, guru perlu menunjukkan tahap dominan yang sesuai. Misalnya, menetapkan dengan jelas apa-apa yang diharapkan daripada muridnya, peraturan dan prosuder serta akibat daripada tingkah laku yang tidak diingini. Pada masa yang sama, guru juga perlu menunjukkan kerjasama, iaitu mengalakkan murid berfungsi sebagai satu pasukan.
Hal ini dapat akan dilihat apabila guru mengamalkan demokrasi dan memberikan peluang kepada murid untuk membuat keputusan tentang sesuatu perkara, misalnya pemilihan ketua kelas. Guru juga perlu menunjukkan semangat berpasukan dengan mengambil berat tentang kebajikan murid-muridnya. Kesedaran guru tentang kanak-kanak berkeperluan khas, misalnya murid yang hiperaktif membantu guru mengambil tindakan yang sewajarnya, yakni mewujudkan suasana yang aman di dalam bilik darjah. Keseimbangan antara fokus terhadap guru sebagai penggerak, pemimpin dan rakan sepasukan membantu menjalinkan hubungan antara guru dengan murid. Hubungan ini merupakan aspek yang sangat penting dalam pengurusan bilik darjah. Hal ini kerana, murid lebih cenderung memberikan perhatian sekiranya mereka mersakan perasaan selamat, hormat, yakin dan kasih sayang kepada guru.
Oleh itu, setiap guru perlu sentiasa meningkatkan dan melakukan penambahbaikan dalam kemahiran mengurus bilik darjah bagi memperoleh kesan yang maksimum. Jelaslah bahawa pengurusan bilik darjah merupakan tugas penting yang memerlukan pengetahuan, kemahiran, kesabaran dan komitmen yang optimum dalam melahirakan para pelajar yang seimbang dari segi emosi, rohani dan inteleknya.

8.0       FAKTOR PENGURUSAN BILIK DARJAH
Bilik darjah ialah merupakan tempat berlaku proses pengajaran dan pembelajaran berlaku dan tempat yang paling penting dalam sekolah. Hal ini dimana bilik darjah memperlihatkan aktiviti dalam sesebuah bilik darjah misalnya aktiviti akademik dan aktiviti sosial. Sebagai guru, haruslah mengambil tahu cara pengurusan bilik darjah dinamik ke arah pembinaan modal insan yang seiring dengan falsafah pendidikan negara iaitu pembinaan jasmani, emosi, rohani dan intelek. Tambahan pula, persekitaran bilik darjah yang kondusif ialah tempat yang dapat melibatkan diri, mengambil bahagian dan menumpukan perhatian dalam pembelajaran. 

8.1       FAKTOR FIZIKAL
Susunan dan reka bentuk fizikal dalam bilik darjah menampakkan autoriti, gaya pengajaran seseorang guru dan membolehkan interaksi di dalam kelas serta bilik darjah yang teratur, kemas dan bersih dapat memberikan gambaran keselesaan kepada pelajar malah memotivasikan pelajar untuk merangsang minat serta semangat di dalam kelas. Suasana bilik darjah mesti memberikan peluang guru memantau dengan mudah dan cepat. Selain itu, pemandangan pelajar mestilah jelas dan tidak terhalang. Hal ini kerana apabila guru mengajar, pelajar mesti dapat melihat guru dengan mudah tanpa mengalih kerusi atau berdiri. Tambahan pula, ruang trafik yang selesa dimana susun atur dalam kelas mesti memberikan peluang kepada guru dan pelajar bergerak di dalam kelas dengan mudah.
Seterusnya, sumber bahan pembelajaran harus ada malah pelajar mesti mempunyai akses yang mudah kepada sumber bahan pembelajaran. Hal ini akan memudahkan pelajar mengambil bahan pembelajaran dan menggunakannya.  Dalam pada itu, memberikan peluang kepada guru untuk mengajar pelajar cara bertanggungjawab ke atas bahan pembelajaran di dalam kelas. Selain itu, ruang pada dinding di sebelah kiri serta di sebelah kanan boleh dijadikan papan kenyataan yang boleh mengisi maklumat murid, jadual kelas atau jadual bertugas. Sudut belakang papan kenyataan boleh digunakan untuk menampal hasil pelajar dan nota ringkas pelbagai subjek. Guru dan pelajar harus berkerjasama dalam menjaga keceriaan kelas serta boleh menyediakan sudut khas seperti mini perpustakaan di sudut belakang kelas.
Walaubagaimapun, pengcahayaan, pengudaraan dan perabot dalam kelas amatlah penting. Hal ini kerana, amat mempengaruhi proses pembelajaran dalam kelas dan guru haruslah memastikan alat elektrik (lampu dan kipas) berfungsi dengan baik. Selain itu, guru juga harus memastikan perabot dalam kelas mencukupi dan berada dalam keadaan yang baik serta selamat digunakan. Hal ini kerana, faktor keselamatan dalam kelas amat penting, untuk mengelakkan perkara yang tidak dingini.
Seterusnya, kebersihan bilik darjah merupakan tanggungjawab bersama guru dan murid. Hal ini kerana, sebagai guru harus memastikan kelas mempunyai alat untuk membersih seperti penyapu, bulu ayam, tong sampah dan penyodok serta pemadam papan putih kerana tanggungjawab pelajar pula ialah mematuhi jadual bertugas serta berkerjasama dalam menjaga kebesihan bilik darjah. Akhir sekali, bilik darjah yang memiliki suasana persekitaran yang baik mempangaruhi corak pengajaran dan pembelajaran antara guru dan pelajar. Guru harus mempunyai wawasan yang jelas serta peka terhadap pengurusan bilik darjah dari segala aspek agar matlamat dan objektif pendidikan dapat dicapai.

8.2       FAKTOR PSIKOSOSIAL
Faktor psikososial merujuk kepada hubungan antara keperluan emosi individu dengan persekitaran sosialnya. Persekitaran psikososial yang sihat di dalam bilik darjah mempunyai ciri-ciri seperti suasana selesa dan mesra, bebas daripada ancaman dan bahaya fizikal, suasana yang merangsang pembelajaran, menggalakkan pembelajaran koperatif dan memberi peluang yang sama untuk semua murid. Faktor yang memberi kesan kepada persekitaran psikososial yang sihat adalah melalui pendekatan pengajaran, gaya kepimpinan guru, bentuk komunikasi dan corak interaksi yang guru wujudkan di dalam bilik darjah. Jika persekitaran psikososial ini tidak dititikberatkan oleh guru, masalah disiplin akan berlaku dalam kalangan murid.
Mengikut Model Disiplin Asertif Canter, pendekatan yang terbaik untuk menguruskan bilik darjah adalah dengan menggunakan pendekatan asertif. Guru perlu menjadi seorang guru yang asertif dalam menguruskan keperluan psikososial setiap pelajar. Guru asertif mempunyai matlamat yang jelas dengan pengurusan, yakin dan tegas dalam menetapkan peraturan dan pada masa yang sama akan bersikap adil kepada semua pelajar. Selain itu, pendekatan pengajaran yang dilakukan oleh guru seharusnya mengambil kira keperluan pelajar seperti keperluan dari segi keperluan untuk memahami matlamat serta objektif pengajaran yang guru sampaikan serta keperluan untuk melibatkan diri secara aktif dalam proses PdPC malah mengetahui hubungan di antara pengajaran yang dipelajari dengan kehidupan seharian.  Perkembangan kognitif pula seperti keupayaan seseorang pelajar itu berfikir dan menerima ilmu serta gaya pembelajaran pelajar yang berbeza bagi setiap individu.
Gaya kepimpinan seseorang guru juga merupakan faktor dalam pengurusan bilik darjah. Terdapat tiga gaya kepimpinan guru iaitu autokratik, demokratik dan laissez-faire. Setiap gaya kepimpinan ini memberi kesan kepada suasana sosioemosi para pelajar di dalam bilik darjah. Guru yang autokratik adalah guru yang sering memberikan arahan kepada pelajar untuk membuat sesuatu perkara, membuat keputusan sendiri iaitu tidak bertanya mengenai pendapat daripada pelajar serta menentukan hala tuju kelas dengan menggunakan pendapat diri sendiri. Bagi gaya kepimpinan demokratik pula, mengamalkan cara mengurus, mentadbir, memerintah secara demokratik, dimana setiap sesuatu perkara diputuskan melalui suara majoriti. Contohnya, guru membuat keputusan untuk membuat lawatan dengan mendapatkan pandangan daripada suara majoriti pelajar di dalam kelas. Bagi kepimpinan gaya laissez-faire pula, guru memberikan pilihan kepada pelajar untuk membuat keputusan sendiri dan bebas untuk mengemukakan segala pandangan dan pendapat. Kepimpinan jenis ini juga memberi hak kepada pelajar untuk bersuara.
Seterusnya, kemahiran berkomunikasi merupakan teras kepada pembentukan budaya yang positif dalam bilik darjah. Komunikasi merupakan aspek penting dalam pengurusan bilik darjah. Oleh kerana pengurusan bilik darjah melibatkan manusia iaitu guru dan pelajar, perhubungan antara mereka perlu sentiasa dalam keadaan yang baik dan mesra. Proses sosialisasi di bilik darjah tidak akan berlaku sekiranya tidak wujud komunikasi. Kemahiran komunikasi yang berkesan oleh guru di dalam bilik darjah akan memberikan ruang dan peluang kepada guru untuk berinteraksi serta bermesra dengan pelajar. Pelajar akan rasa diri mereka lebih dihargai oleh guru serta melalui hal tersebut, guru dapat menyampaikan objektif pengajaran dengan lebih berkesan dan efektif. Komunikasi dua hala di antara guru dengan pelajar atau pelajar dengan pelajar akan menggalakkan lagi interaksi di dalam bilik darjah. Umum mengetahui bahawa sekolah pada masa sekarang menggunakan pembelajaran abad ke-21, jadi para pelajar lebih mudah untuk berkomunikasi serta bertukar idea bersama rakan-rakan melalui kedudukan meja yang disusun secara berkumpulan. Oleh itu, kemahiran komunikasi di antara guru serta pelajar sangat penting bagi membentuk pengajaran yang berkesan.

8.3       FAKTOR EMOSI
Dalam konteks pembelajaran, faktor emosi merupakan perasaan pelajar terhadap guru di dalam bilik darjah semasa proses PdPC. Dalam faktor emosi, guru yang bersifat demokratik akan mempengaruhi emosi pelajar dari segi cara menerima pendapat pelajar, menggalakkan penyoalan daripada mereka dan memuji mereka dengan cara yang baik. Hal ini akan dapat membina suasana emosi yang menyenangkan dan selesa untuk pembelajaran. Apabila guru menggunakan kaedah demokratik ianya dapat mewujudkan keadaan di mana pelajar akan belajar dalam suasana yang tenang dan selesa untuk pembelajaran. Manakala suasana bilik darjah tidak akan tenang jika guru menggunakan kaedah autokratik iaitu selalu memarahi, memberi amaran, arahan dan selalu mengkritik pelajar.

8.4       FAKTOR TEKNIKAL
Faktor teknikal merupakan teknik yang digunakan oleh guru semasa di dalam kelas. Teknik ini merangkumi aspek kemahiran guru serta penggunaan bahan bantu mengajar di dalam bilik darjah. Bahan bantu mengajar yang dipilih oleh guru sekurang-kurangnya mestilah merupakan bahan yang terbaru yang menarik dan diminati pelajar, dapat membantu mempercepatkan PdPC dan releven dengan isi pengajaran yang ingin disampaikan. Pelajar akan lebih tertarik dan seronok untuk belajar jika guru menunjukkan bahan bantu mengajar yang menarik seperti simulasi berkomputer, gambar animasi, model yang menarik, bahan atau gambar yang diakses daripada internet. Dalam zaman teknologi sekarang, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) banyak membantu kerana guru boleh menyediakan atau mendapatkan berbagai bahan terbaru untuk proses PdPC dan mengubahnya untuk disesuaikan dengan nilai dan minda pelajar.
Selain itu, faktor teknikal juga adalah kejelasan suara serta gaya pengajaran yang menarik serta teknik-teknik yang digunakan untuk merangsang semangat dan kesediaan belajar. Faktor ini merangkumi aspek kemahiran guru, kecekapan penggunaan alat bantu mengajar mengikut peruntukan masa serta aktiviti-aktiviti yang boleh merangsang aktiviti pembelajaran seperti pertandingan perbahasan, teka-teki, lakonan, kuiz, nyanyian dan sebagainya. Bukan itu sahaja, kejelasan serta nada suara yang digunakan oleh guru juga merangkumi faktor teknikal di dalam bilik darjah.
Contohnya, jika seseorang guru mempunyai suara yang sangat perlahan serta tidak menggunakan bahan bantu mengajar semasa proses pengajaran, pelajar akan mudah merasa bosan dan tidak bersemangat untuk meneruskan proses PdPC. Kejelasan suara suara oleh guru merupakan aspek yang sangat penting semasa di dalam bilik darjah. Oleh itu, kehebatan pengajaran guru bergantung kepada kejelasan suara, gaya pengajaran yang menarik, fleksibiliti iaitu tidak membosankan, inovasi, kreatif, pendekatan yang sentiasa digunakan untuk membaiki kelemahan murid, penglibatan murid dalam aktiviti kelas, dan pengurusan masa yang berkesan.

8.5       FAKTOR KEMANUSIAAN
Faktor kemanusiaan merangkumi sifat kasih sayang, keadilan, demokrasi, bertimbang rasa dan sifat kecindan daripada guru. Di dalam bilik darjah, seorang guru perlu mempunyai sifat-sifat tersebut supaya pelajar akan berasa selesa dan rasa dihargai oleh guru. Melalui aspek kasih sayang, guru serta pelajar perlu mempunyai sifat menyayangi di antara satu sama lain. Contohnya, guru tidak menunjukkan sifat marah serta memarahi pelajar yang tidak bersalah. Bagi keadilan pula, guru perlu bersikap adil kepada semua pelajar di dalam bilik darjah dengan tidak terlalu memilih kasih terhadap pelajar. Guru yang cemerlang merupakan guru yang dapat memupuk sikap adil di dalam diri dan melayan setiap pelajar sama rata tidak kira berbeza dari segi bangsa dan agama.
Demokrasi pula seperti guru tidak memberi arahan serta membuat keputusan sendiri semasa di dalam bilik darjah. Contohnya, semasa proses untuk melantik ketua kelas, guru meminta para pelajar untuk memberi cadangan serta para pelajar juga yang memilih ketua kelas mereka sendiri. Melalui sikap demokrasi ini, pelajar akan lebih selesa dan berani untuk memberi pandangan mereka sendiri terhadap sesuatu proses pengajaran yang dijalankan. Seterusnya, bertimbang rasa adalah sikap seorang guru yang peka terhadap keadaan pelajar di dalam bilik darjah. Contohnya, jika terdapat pelajar yang sakit di dalam bilik darjah, guru seharusnya bertanya tentang keadaan pelajar dan menyuruh pelajar untuk rehat di bilik sakit yang disediakan di sekolah atau membawa pelajar ke klinik. Seorang guru yang bertimbang rasa juga tidak menghukum pelajar sesuka hati tanpa usul periksa.
Terakhir sekali, sifat kecindan harus ada di dalam diri setiap guru untuk membina suasana bilik darjah yang ceria dan lebih menyeronokkan. Bagi mewujudkan hubungan baik antara guru dengan pelajar, seharusnya seseorang guru itu berkebolehan melakukan jenaka atau kecindan. Guru yang gemar bergurau dengan pelajar akan menyebabkan pelajar tidak mudah untuk berasa bosan malah lebih tertarik untuk belajar. Guru juga tidak menggunakan sindiran terhadap pelajar malah bergurau dengan pelajar dengan cara yang betul dan sesuai dengan situasi. Dengan cara guru mendekati pelajar, guru dapat menggalakkan pelajar bertanya dan berkongsi lawak jenaka dan membolehkan pelajar merasai guru sebagai seorang kawan. Hubungan baik yang terjalin di antara guru dan pelajar juga dapat membantu mengawal masalah disiplin dan salah laku dalam kalangan pelajar.

9.0       CABARAN PENGURUSAN BILIK DARJAH DALAM PEMBELAJARAN ABAD KE-21
Pembelajaran abad ke-21 diwujudkan untuk mengikut kesesuaian peredaran generasi pada abad ini demi mencapai keperluan individu dan keperluan negara. Pada abad yang ke-21 ini, negara menghadapi isu dan cabaran daripada kesan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Kemajuan dalam peredaran zaman ini menyebabkan para pendidik perlu menggunakan kaedah pengajaran yang lebih inovatif dan berkesan untuk merialisasikan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi pegangan pelaksanaan sistem pendidikan di negara. Bilik darjah menjadi tempat utama bagi murid dan guru dalam pembelajaran dan pengajaran kerana murid banyak menghabiskan masa sekolah di dalam bilik darjah untuk menimba ilmu. Menurut Mohd Hasani Dali (2009) pengurusan bilik darjah merupakan kemahiran yang agak sukar dikuasai walaupun banyak teori dan teknik yang telah dipelajari oleh guru pelatih di universiti maupun di institute-institut perguruan. Ia tidak dapat dinafikan bahawa pengurusan bilik darjah ini mempunyai pelbagai cabaran yang perlu dihadapi oleh para guru.
            Kecanggihan teknologi menyebabkan pelajar pada generasi sekarang lebih menumpukan perhatian pada sesuatu yang menarik. Pembelajaran dan pengajaran pada dahulu kala tidak boleh dipergunakan lagi pada zaman sekarang. Menulis, menyalin dan menghafal merupakan sesuatu kebiasaan bagi pelajar generasi dahulu akan tetapi pelajar pada masa kini yang dikelilingi dengan teknologi, kurang mudah menyerap dalam menulis, menyalin dan menghafal. Tidak dinafikan bahawa berdasarkan dari Kementerian Pendidikan Malaysia, murid bermasalah pembelajaran semakin meningkat dan ini menyebabkan guru-guru perlu bertungkus lumus mengikut keupayaan murid-murid tersebut.
Teknologi yang semakin canggih menyebabkan pelbagai idea kreativiti yang dapat dikeluarkan serta mencabar minda. Ia bukan sahaja menjadi salah satu cabaran, akan juga menjadi suatu kelebihan bagi guru untuk mempermudahkan pembelajaran dan pengajaran dalam bilik darjah. Antara contoh teknologi yang sering dipergunakan adalah seperti projektor, televisyen, komputer, dan sebagainya. Kepelbagaian teknologi yang disediakan masih memberikan kesukaran pada guru yang sudah mengajar bertahun sebelum ini. Ini disebabkan guru yang sudah lama memegang gelaran guru dari dahulu tidak mempunyai teknologi yang serba canggih seperti sekarang jadi guru-guru tersebut perlu menyesuaikan diri dalam penggunaan teknologi alat bantuan mengajar.
            Selain dari teknologi, masalah disiplin pelajar semakin meningkat juga antara salah satu cabaran yang perlu ditempuhi. Pengurusan bilik darjah memerlukan persekitaran bilik darjah yang positif, sekaligus memberikan keselesaan pada para pelajar dan guru di dalam bilik darjah tersebut. Pelajar yang bermasalah disiplin menyebabkan berlakunya gangguan terhadap guru dan pelajar yang ingin menimba ilmu. Seperti yang dapat dilihat, pelajar pada zaman sekarang ini lebih bersosial dan menyebabkan masalah disiplin semakin mudah merebak. Di sini, guru mempunyai kuasa dalam bilik darjah untuk mengawal sikap disiplin pelajar tersebut. Setiap masalah disiplin mesti mempunyai punca kenapa pelajar tersebut berkelakuan sebegitu.
            Punca-punca yang menyebabkan pelajar kurang berdisiplin perlu diselidik dengan betul dan dirancang dengan betul oleh guru demi mengelak kesan buruk yang akan ditimpa. Sebagai contohnya, masalah yang membabitkan dengan pihak polis merupakan masalah yang sebolehnya perlu dielakkan kerana ia boleh mencemarkan nama sekolah dan juga nama bagi pihak yang terlibat di dalam kes tertentu. Masalah disiplin yang datangnya dari pelbagai pelajar dengan berlatar belakang yang berbeza menyebabkan suatu cabaran bagi guru untuk memahami situasi pelajar tersebut tanpa bertindak secara melulu. Di sini pemikiran dan emosi guru amat tercabar. Seperti yang tersedia maklum, apabila tingkah laku bermasalah atau disiplin berlaku di dalam bilik darjah, proses pengajaran dan pembelajaran akan terjejas.
             Kepelbagaian masalah disiplin yang boleh kita dapati seperti membuli, menganggu rakan sekelas yang ingin belajar, tidak menghormati guru di dalam kelas dan sebagainya sehingga perkara ini bukan sesuatu yang janggal untuk didengari. Pembelajaran dan pengajaran tidak dapat mencapai objektif dalam pembelajaran dan pengajaran kerana tanpa kerjasama dari pelajar juga menyukarkan bagi guru. Pelajar sebegini sukar untuk memberikan kerjasama melainkan terdapat sesuatu perkara yang menarik minatnya sehingga pelajar itu sendiri yang merelakan dirinya melibatkan dalam proses pembelajaran dan pengajaran.
Bagi menarik minat pelajar yang bermasalah berdisiplin untuk melibatkan diri dalam pengurusan bilik darjah adalah bukan sesuatu yang mudah kerana kebanyakannya mereka cepat berasa bosan dan suka mencuba sesuatu yang mencabar diri mereka. Mereka bagaikan darah muda yang suka meneroka apa yang mereka ingin merasai terutamanya pada pelajar lelaki. Masalah disiplin yang ringan sehingga boleh bertukar menjadi masalah disiplin yang berat, disebabkan itu guru-guru memainkan peranan dalam mengawal tingkah laku pelajar di dalam bilik darjah seperti kata pepatah, membentuk buluh biarlah dari rebungnya.
            Cabaran yang boleh dikemukan adalah dengan cabaran persekitaran bilik darjah yang serba kekurangan. Maksudnya disini, terdapat bilik darjah yang tidak sekemas atau teratur seperti yang diharapkan misalnya, lantai yang berlubang, kipas yang tidak boleh dipasang, bilik darjah yang bersepah dan susunan meja yang terlalu padat disebabkan jumlah pelajar yang ramai di dalam kelas. Perkara ini lebih memfokuskan kepada sekolah yang sudah lama dibina berbanding sekolah yang baru dibina kerana sekolah yang lama mempunyai bilik darjah yang kurang menyerlah atau kurang mata memandang. Seperti yang didapati, kemeriahan dan kekemasan di dalam bilik darjah boleh memberikan iklim yang positif di dalam bilik darjah sekaligus menjadikan iklim sekolah lebih berpositif.
Pelajar akan berasa lebih selesa dengan persekitaran yang baik dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka. Sebagai contoh, kerusi yang sudah patah menyebabkan pelajar tiada tempat untuk duduk sambil belajar sehingga mereka berasa kurang selesa apabila terpaksa berkongsi kerusi dengan yang lain. Walaupun ia nampak seperti masalah kecil, tetapi dengan masalah kecil sebegitu boleh mempengaruhi kegangguan pada individu dan pada orang di sekelilingnya. Memerlukan banyak perkara yang perlu dibaiki di dalam pengurusan bilik darjah terutamanya kerosakan alat alatan di dalam bilik darjah yang dialami. Masih terdapat juga beberapa antara sekolah yang lebih mementingkn penampilan bilik darjah di bahagian kelas yang depan iaitu murid-murid yang cemerlang berbanding dengan kelas di bahagian belakang iaitu murid-murid yang kurang cemerlang.
            Ini menyebabkan kelas pelajar di bahagian kelas belakang kelihatan seperti tidak terurus berbanding dengan kelas di bahagian depan. Selain itu, boleh dilihat bahawa sekolah yang mempunyai program pendidikan khas integrasi di mana murid bermasalah pembelajaran digabungkan dengan murid yang berlainan keupayaan misalnya, pelajar kurang pendengaran dimasukkan di dalam kelas pelajar bermasalah pembelajaran menyebabkan pelajar kurang pendengaran tersebut akan ketinggalan dari apa yang guru ajar. Perkara sebegini membuatkan pelajar kurang bersosial dengan pelajar yang lain dan juga guru yang bukan mahir dalam bahasa isyarat menambahkan lagi kesukaran pelajar bermasalah pendengaran untuk menuntut ilmu. Ketidaksesuaian suasana ini akan mempengaruhi prestasi akademik pelajar berpendidikan khas.

10.0     STRATEGI DALAM MENANGANI MASALAH PENGURUSAN BILIK DARJAH
Di setiap cabaran, ada penyelesaiannya dan memerlukan usaha serta konsisten dalam menangani cabaran pengurusan bilik darjah. Guru memainkan peranan yang penting dalam menguasai bilik darjah dan memerlukan perancangan yang betul bagi menangani sesuatu masalah bergantung pada keadaan suasana tersebut. Strategi dalam menangani masalah kecanggihan teknologi dimana ia lebih menarik minat murid, pembelajaran abad ke-21 telah diwujudkan dimana pelbagai aktiviti pembelajaran yang menarik boleh digunakan. Sebagai contoh, lawatan bilik darjah, kotak beracun, pencarian harta karun dan sebagainya. Selain itu, guru juga boleh menggunakan bahan teknologi sebagai alat bantuan mengajar. Sebagai contoh, menggunakan komputer, pembesar suara dan projektor bagi memaparkan video yang berkaitan dalam pembelajaran bilik darjah.
            Bagi menambahkan lagi proses pembelajaran dalam bilik darjah yang menarik, guru boleh memberikan peluang pada belajar untuk melakonkan watak pilihan mereka berdasarkan tajuk yang diberi oleh guru. Pelajar boleh menunjukkan daya kreativiti mereka tersendiri dan memudahkan lagi pelajar yang lain menikmati lakonan di depan mata, dalam masa yang sama mudah memahami dalam sesuatu pembelajaran dan pengajaran. Aktivit-aktiviti sebegini lebih melibatkan dengan aktiviti bersosial antara pelajar dengan pelajar yang lain. Melalui bersosial, pelajar mudah untuk membincangkan masalah sesuatu perkara dan bekerjasama bagi mencapai objektif proses pembelajaran mereka.
            Sekiranya, perancangan guru dalam membuat aktiviti bilik darjah kurang menarik minat pelajar, guru boleh memperbaiki lagi perancangan supaya menjadi lebih baik. Walaupun, ia bukan perancangan yang sempurna tetapi setiap kelemahan boleh diperbaiki lagi. Guru memerlukan usaha yang lebih bagi menambahbaikkan perancangan bilik darjah. Pembelajaran yang menarik memudahkan pelajar memberikan komitmen bersama dengan guru. Dengan lebih lanjut lagi, guru juga boleh menggunakan tanda lampu isyarat, dimana sekiranya pelajar mempunyai soalan mereka akan menggunakan lampu isyarat berwarna kuning, warna hijau bermaksud setuju dan warna merah bermaksud tidak setuju. Ini menyebabkan suasana bilik darjah itu bertambah seronok.
Seterusnya, dari segi masalah disiplin adalah paling sukar untuk dibendung kerana seperti yang boleh didapati prestasi masalah disiplin semakin berleluasa sehingga tersebar di dalam akhbar harian. Guru kelas yang sukar untuk menangani seseorang pelajar itu boleh meminta bantuan dari guru bdisiplin dimana guru disiplin akan membuat tindakan yang setimpal pada murid bermasalah disiplin ini. Bagi menangani masalah sebegini, guru perlu menyediakan peraturan di dalam kelas disertakan dengan hukuman sekiranya pelajar tersebut melanggar peraturan bilik darjah. Sebagai contoh, guru boleh menyediakan senarai perbuatan yang dilarang melakukannya di dalam kelas dengan menyediakan hukuman yang tidak memudaratkan pelajar. Hukuman dan peraturan yang diberi akan mengelakkan pelajar dari selalu melakukan masalah disiplin di dalam kelas.
            Selain itu dari hukuman guru juga boleh memberikan ganjaran pada pelajar yang bertingkah laku dengan baik. Sebagai contoh, memberikan cop ‘bagus’ pada hasil kerja sekolah mereka disebabkan sikap mereka yang menyiapkan kerja sekolah yang diberi oleh guru. Ganjaran yang diberi memberikan dorongan pada pelajar untuk melakukan sesuatu tingkah laku yang baik dengan berterusan. Sekiranya dorongan itu masih tidak memberikan kesan pada pelajar sehingga ia menganggu pelajar dan guru di dalam bilik darjah, guru boleh memberitahu ibubapa pelajar tersebut semasa hari mengambil buku rekod. Kerjasama ibubapa dapat memberi kesan kepada anak mereka kerana ibubapa merupakan orang dewasa pertama dimana generasi muda perlu patuhi mereka sejak dari lahir. Tanpa kerjasama atau bantuan dari ibubapa, matlamat untuk mengubah disiplin murid akan menjadi sukar.
            Akhir sekali adalah dalam penambahan keselesaan di dalam bilik darjah dimana guru dan pelajar-pelajar bekerjasama dalam menghiaskan bilik darjah dengan cantik. Setiap sekolah mempunyai pertandingan bilik darjah yang tercantik dengan memberikan hadiah pada kelas yang terbaik boleh mendorong para pelajar usaha untuk menghias kelas mereka sendiri dengan usaha kerjasama. Semangat saling kerjasama sesama pelajar dan guru dapat mempertingkatkan lagi persekitaran bilik darjah dengan positif. Guru turut boleh menyumbangkan sebahagian wang untuk membantu muridnya serta memberikan sebarang idea yang menarik.
            Mengemas bilik darjah dilakukan dengan melalui jadual bertugas bilik darjah. Setiap murid di dalam kelas mempunyai tugasan mereka masing-masing seperti menyapu sampah, menyusun meja, mengelap tingkap, dan sebagainya. Setiap kali sebelum memulakan kelas, guru sendiri perlu memastikan kelas kelihatan bersih dan sekiranya ada kekotoran, guru perlu meminta pelajar yang bertugas pada hari itu dengan melakukan tugasan mereka mengemas bilik darjah. Setiap bilik darjah berlainan cara mereka menghiasi persekitaran bilik darjahnya. Kesemua perancangan yang dipersetujui mestilah dari perbicangan yang dilakukan oleh pelajar.
Perbincangan yang melibatkan persetujuan yang banyak memberikan peluang bagi mengeluarkan idea-idea yang menarik sebagai contoh, menghiasi kelas dengan tema binatang atau menghiasi kelas dengan tema merdeka. Penyusunan meja juga boleh disusun dengan cara berempat-empat dimana terbentuknya meja berkumpulan dan memudahkan pelajar membuat kerja secara berkumpulan. Penyusunan meja sebegitu memberikan pelajar yang kurang bersosial, akan mudah untuk berinteraksi dengan pelajar yang lain dan guru boleh memberikan aktiviti yang melibatkan secara berkumpulan.
            Setiap hasil aktiviti yang telah dilakukan, pelajar boleh membentangkan hasil kerja mereka dalam bilik darjah untuk menunjukkan idea kreativiti yang telah mereka dapat. Melalui ini, pelajar berpeluang menonjolkan diri mereka tersendiri dengan sifat kepimpinan yang ada dalam diri mereka. Hanya dalam satu aktiviti sahaja ia melibatkan pelbagai kemahiran dari segi aspek kognitif, emosi dan sosial sehingga mewujudkan sesuatu kelakuan dalam diri pelajar. Misalnya, setiap kumpulan perlu mempunyai ketua kumpulan dan ketua kumpulan perlu menggunakan kognitif, emosi dan sosial dengan betul untuk mewujudkan sikap kepimpinan yang positif dalam diri.
            Setiap strategi yang ada perlu dirancang terlebih dahulu dengan mengikut kesesuaian dalam sesuatu situasi. Guru juga perlu mempertimbangkan kekuatan dan kelemahan pada pelajar dalam bilik darjah untuk memberikan pelajar peluang untuk menaikkan potensi dalam diri mereka berbanding dengan merendahkan keyakinan diri pelajar. Lebih lanjut lagi, guru boleh meminta pandangan terlebih dahulu dari orang yang lebih berpengalaman sebelum guru tersebut bertindak, ini disebabkan bagi mengelakkan berlaku risiko yang tinggi bagi pelajar dan juga guru itu sendiri.




11.0     PENUTUP
Secara keseluruhannya, bilik darjah memainkan peranan penting terhadap tingkah laku dan juga pencapaian akademik pelajar. Hal ini demikian, bilik darjah yang positif dan kondusif akan memberi keselesaan kepada para pelajar untuk belajar dan menggelakkan pembelajaran yang aktif kerana proses komuniksi antara guru dan pelajar dan juga antara pelajar dan pelajar berjalan dengan baik. Bilik darjah seumpama bilik tidur. Jika bilik tidur kemas dan bersih, maka penghuni bilik tersebut akan tidur dengan selesa dan nyenyak. Begitu juga dengan bilik darjah. Suasana di bilik darjah yang dihiasi dan diatur kemas dengan pelbagai carta, gambar dan alat bantu mengajar, saiz bilik yang mencukupi memberi keselesaan kepada murid-murid untuk menjalankan pelbagai aktiviti kumpulan atau permainan. Tingkap dan pintu yang mencukupi untuk pencahayaan dan pengedaran udara dengan baik serta keadaan kebersihan dan keindahan bilik darjah.
Selain daripada aktiviti mengajar, guru-guru berperanan sebagai pengurus di dalam bilik darjah iaitu mengurus rutin bilik darjah, mengurus bahan-bahan sumber pembelajaran, mengurus disiplin dan masalah peribadi pelajar, dan mengurus keadaan fizikal bilik darjah. Guru menjadi tunjang utama atau tulang belakang bagi menguruskan sesebuah bilik darjah itu. Peranan guru juga penting dalam mengelola bilik darjah. Seseorang guru itu harus mempunyai pengetahuan, kemahiran, kesabaran dan komitmen yang tinggi bagi memperoleh kesan yang maksimum.
Pengurusan bilik darjah dinamik ke arah pembinaan modal insan yang seiring dengan falsafah pendidikan negara iaitu pembinaan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Pengurusan bilik darjah memerlukan pelbagai pengetahuan, kemahiran, prosedur, teknik dan strategi. Guru seharusnya memiliki gaya kepimpinan, kemahiran merancang, kecekapan mengurus, kepelbagaian dalam pengajaran dan pembelajaran, kebijaksanaan interpersonal, kemahiran berkomunikasi, kemahiran kaunseling dan mampu mengendalikan teknologi maklumat dan komunikasi.
Secara amnya, bilik darjah ialah bilik-bilik di sekolah di mana sekumpulan murid atau pelajar mengikuti pelajaran atau belajar sesuatu mata pelajaran yang diajar oleh guru. Untuk konsep yang lebih luas, bilik darjah tidak semata- mata merupakan ruang untuk proses pengajaran dan pembelajaran, tetapi mencakupi pelajar-pelajar dan guru yang belajar dan mengajar dan berinteraksi antara satu sama lain didalamnya. Selain mengetahui dan memahami serta mampu mengamalkan prinsip-prinsip pengurusan bilik darjah, guru juga perlu meneliti faktor-faktor lain dalam pengurusan bilik darjah yang berkesan. Terdapat pelbagai faktor yang perlu diambil kira oleh seorang guru sebagai pengurus.



12.0     ANALISIS SWOT
12.1     KEKUATAN (S)
Sepanjang perancangan dan pelaksanaan kajian di sekolah, terdapat beberapa kekuatan atau kelebihan yang dapat kami kenalpasti. Susun atur meja dan kerusi yang berbentuk kumpulan kecil memudahkan para pelajar untuk membuat perbincangan dalam kumpulan. Melalui perbincangan bersama, pelbagai pendapat akan dikeluarkan. Hal ini membantu pelajar memberikan tumpuan serta melaksanakan aktiviti dengan lancar. Selain daripada untuk kemudahan pelajar, tempat duduk yang bersesuaian juga dapat menggalakkan komunikasi antara pelajar dan kolaboratif antara mereka. Di samping itu, pelajar yang pintar juga boleh membantu pelajar yang lemah dalam mencapai pencapaian akademik yang cemerlang.
Selain itu, ruang bilik darjah yang besar memudahkan pergerakan murid dan guru. Guru boleh berdiri di tengah kelas serta dapat memberi perhatian kepada semua murid dalam kumpulan. Ia juga memudahkan pergerakan pelajar jika ada aktiviti dijalankan. Penggunaan teknologi seperti televisyen dan projektor juga dapat menarik minat pelajar untuk belajar. Bilik darjah di SMK Syeikh Abdul Ghani dilengkapi dengan kemudahan teknologi yang dapat meransang minat pelajar untuk belajar.

12.2     KELEMAHAN (W)
Terdapat beberapa kelemahan yang dapat kami kenalpasti semasa melaksanakan kajian ini. Kedudukan para pelajar yang berbentuk kumpulan kecil akan mendorong para pelajar untuk bersembang antara satu sama lain ketika proses PdPc dijalankan. Hal ini demikian, pelajar akan duduk dalam satu kumpulan dan akan mula berbual antara satu sama. Selain itu, ia juga menjadi masalah kepada pelajar yang mendapat tempat menghadap ke belakang. Setiap kali guru memulakan proses PdPc, pelajar tersebut harus berpusing ke belakang untuk melihat guru di hadapan.
Ruangan bilik darjah yang terlalu besar juga akan membuatkan guru terlepas pandang dengan pelajar yang tidak menumpukan perhatian di dalam kelas. Justeru, ia akan memberi kesan kepada pencapaian akademik pelajar jika mereka tidak menumpukan perhatian ketika di dalam kelas.

12.3     PELUANG (O)
Penggunaan teknologi juga memberi peluang kepada pelajar yang kurang berkemampuan untuk merasai penggunaan teknologi secara langsung. Walaupun zaman sekarang zaman teknologi, tetapi masih ada pelajar yang tidak mampu untu memiliki gajet atau komputer di rumah. Jadi, mereka akan ketinggalan jika dibandingkan dengan pelajar lain seterusnya akan membuatkan mereka berasa rendah diri. Oleh itu, penggunaan teknologi di sekolah memberi mereka peluang untuk memberi pengalaman dan merasai dunia teknologi dengan secara langsung dan lebih dekat.
Di samping itu, ia juga membuka peluang kepada guru untuk meneroka dunia teknologi seterusnya dapat merancang strategi PdPc yang kreatif dan berkesan terutamanya kepada guru lama yang sebelum ini hanya menggunakan papan putih sahaja untuk mengajar. Guru-guru lama juga boleh belajar untuk menggunakan teknologi secara meluas.

12.4     HALANGAN (T)
            Kepelbagaian teknologi yang disediakan masih memberikan kesukaran pada guru yang sudah mengajar bertahun sebelum ini. Ini disebabkan guru yang sudah lama memegang gelaran guru dari dahulu tidak mempunyai teknologi yang serba canggih seperti sekarang jadi guru-guru tersebut perlu menyesuaikan diri dalam penggunaan teknologi alat bantuan mengajar.
            Peruntukkan kewangan juga menjadi isu. Hal ini demikian, bilik darjah abad ke-21 menekankan penggunaan teknologi yang memerlukan bajet yang besar untuk menggunakannya. Tambahan pula jika berlaku kerosakkan akan memakan jumlah yang banyak untuk membaikinya. Justeru pihak sekolah harus bekerja dengan lebih keras untuk mencari dana agar dapat menampung perbelanjaan sekolah. Para pelajar juga harus diajar untuk menggunakan peralatan komputer dan menjaga peralatan-peralatan tersebut dengan baik agar tidak mudah rosak.

RUMUSAN
Secara keseluruhannya, bab ini mengenai pengurusan bilik darjah. Bilik darjah merupakan medan perjuangan utama seorang guru menjalankan tugas, peranan dan tanggung jawab. Fungsi utama sebagai seorang guru, adalah berusaha untuk memotivasi pelajar untuk belajar. Ini boleh berlaku sekiranya guru boleh membuat pelajar memberi sepenuh perhatian, berdisiplin dan bertingkah laku baik semasa sesi pengajaran dijalankan. Setiap pelajar di sekolah memerlukan pendidikan yang baik yang boleh guru tawarkan. Menjadi tanggungjawab guru mencari jalan untuk mencapai matlamat ini. Sebagai seorang guru, perlulah sentiasa bersedia dan merancang apakah yang akan dilakukan setiap kali masuk ke dalam bilik darjah dan memulakan pembelajaran. Elemen-elemen ini merupakan sesuatu yang akan membantu sepanjang sesi pengajaran berlangsung.
Kini, dalam era kemodenan konsep pembelajaran abad ke-21 menjadi elemen utama dalam pengurusan bilik darjah. Penekanan dalam menguasai kemahiran abad ke21 dalam proses pembelajaran dan pemudah cara (PdPc) haruslah bermula dengan menerapkan konstruk kemahiran abad ke-21 dalam proses PdPc. Guru dianggap mempunyai kompetensi tertentu untuk mengembangkan kemahiran, bakat, potensi dan pengetahuan pelajar dalam pelbagai bentuk. Selain itu, pencapaian murid sentiasa menjadi ukuran kepada keberhasilan proses pembelajaran yang dialami murid dalam bilik darjah. Hal ini kerana PdPc yang bermakna sangat membantu murid meningkatkan minat serta motivasi mereka untuk mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat. Bagi mencapai aspirasi pendidikan negara, keberhasilan guru menjadi salah satu anjakan transformasi terkini. Bentuk PdPc pada abad ke-21 masih tetap berpusatkan guru, akan tetapi guru memainkan peranan penting untuk melibatkan murid secara aktif dalam aktiviti pembelajaran di sekolah. PdPc menerusi kemahiran abad ke-21 sangat membantu guru dan pelajar dalam usaha mencapai aspirasi pendidikan negara.
Oleh itu, penerapan kemahiran abad ke-21 akan dapat membantu pelajar dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan cabaran globalisasi dengan lebih berkeyakinan dalam bidang pendidikan, malah dalam bidang kerjaya. Sikap, motivasi dan pencapaian sedikit sebanyak mampu mendorong pelajar untuk menguasai kemahiran abad ke-21 dengan lebih cepat dan mudah serta memberi kesan dalam jangka masa yang panjang merupakan satu hasil yang semestinya ditunggu-tunggu oleh negara dalam melahirkan masyarakat yang serba boleh dalam pelbagai bidang dan mampu berdaya saing dengan negara maju.



13.0     RUJUKAN

Ang, J. J. E. & Ed.D. (2014). Pegurusan bilik darjah: strategi-strategi mewujudkan komuniti
pembelajaran berkesan. Selangor: PTS ACADEMIA.

Evertson, C. M. & Emmer, E.T. (2013). Classroom management for elementary teachers. United State,
America: Pearson Education.

Haliza Hamzah & Samuel, J.N. (2014). Pengurusan bilik darjah dan tingkah laku. Shah Alam,
Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Mohamad Jodi Salleh. (2009). Pengurusan Bilik Darjah. Pengajaran dan Pembelajaran, 2-22.

Norashikin Abu Bakar, Ramli Basri & Foo, S.F. (2015). Hubungan kepimpinan guru dengan pencapaian
akademik pelajar. International Journal of Education and Training (InjET), 1-11.

Nur Hanani Hussin & Ab Halim Tamuri. (2017). Pendidikan Abad ke 21 Dalam Kepelbagaian Budaya:
Cabaran dan Harapan.

Rohami Shafie. (2016, Mac 30). Bilik darjah dan generasi masa depan. Utusan Online, Diperoleh

Robison, T. (2018). Classroom management through lesson design: Considering some often-
overlooked variables to prevent issues before they start. Journal of Education, 329(1), 33-35.

Rohani Arbaa, Hazri Jamil & Mohammad Zohir Ahmad. (2017). Model Bersepadu Penerapan   
Kemahiran Abad ke-21 dalam Pengajaran dan Pembelajaran, Jurnal Pendidikan Malaysia, 42(1): 1-11.

Siti Nurshahizan Binti Razali. (2014). Gaya keibubapaan terhadap pencapaian akademik pelajar.

Torek Sulong. (2018, Mac 10). RM190 juta wujudkan bilik darjah pintar. Utusan Online, Diperoleh

Wiyani, Novan Ardy Ratri, & Rose Kusumaning. (2016). Manajemen kelas: teori dan aplikasi untuk
menciptakan kelas yang kondusif. Jogjakarta: Ar-Ruzz Media.        

Wong, L. (2013). Perkembangan sosioemosi. Diperoleh daripada